ATIKAH ditemani anaknya tinggal di rumah usang di Kampung Chenderong Batu Timur. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ATIKAH ditemani anaknya tinggal di rumah usang di Kampung Chenderong Batu Timur. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


SAMBIL mendukung bayi, tangannya menguis sampah dalam tong sampah untuk mencari besi buruk.

Kelibat Atikah Sallehuddin, 40, bersama bayi perempuannya yang berusia sembilan bulan kerap dilihat di kawasan pembuangan sampah di sekitar Wakaf Bharu untuk mencari besi buruk.

Tindakannya itu adalah untuk membantu meringankan beban suami, Mohd Noor Deraman, 60, yang hanya bekerja sebagai tukang sapu di sebuah sekolah di Tumpat dengan upah tidak seberapa.

Atikah berkata, setiap hari, kira-kira jam 7 pagi dia akan menghantar suami terlebih dulu ke tempat kerja dengan motosikal sebelum dia dan bayinya bergerak dari satu tong ke satu tong sampah bagi mencari besi buruk.

“Saya terpaksa membawa sekali anak kerana tiada sesiapa yang boleh menjaga kerana tiga lagi anak bersekolah.

“Besi buruk yang diperoleh dibawa pulang dan disimpan di stor di sebelah rumah sewa sementara menunggu pembeli besi buruk datang.

“Secara puratanya saya memperoleh sekitar RM13 hingga RM15 sehari hasil jualan besi buruk. Sudah cukup untuk membeli lauk kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chenderong Batu Timur, Tumpat.

Menurutnya, dia tidak menghiraukan pandangan orang ramai kerana hanya ingin membantu meringankan beban suami yang turut mengalami masalah saraf di mata menyebabkan penglihatan kabur.

“Pendapatan yang diperoleh suami digunakan untuk membayar sewa rumah sebanyak RM50 sebulan serta perbelanjaan persekolahan tiga anak berusia enam hingga 18 tahun.

“Kami juga bersyukur kerana suami menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan manakala anak sulung yang mengalami masalah pembelajaran juga mendapat elaun yang sedikit sebanyak meringankan beban,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank milik Mohd Noor Deraman di 153092062399.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 5:15 PM