Saiful Affendy Sapran


MENGENALI nama Hafizh Syahrin Abdullah, satu perkara yang pantas terlintas di fikiran masing-masing adalah seorang anak muda yang mempunyai sifat ‘hati kering’ menunggang jentera besar di Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP).

Begitulah melekatnya ingatan ramai jika bercakap mengenai Hafizh. Jentera besar serta kelajuan sudah sebati di dalam kehidupan sehariannya.

Namun, dari satu sudut lain, sensasi negara itu yang mencipta nama menerusi sukan dua roda, sebenarnya mempunyai potensi di dalam acara sukan lain terutamanya bola sepak.

HAFIZH (depan, dua dari kanan) bersama skuad Pescao Rosar.
HAFIZH (depan, dua dari kanan) bersama skuad Pescao Rosar.

Hafizh yang beraksi bersama Red Bull KTM Tech 3 musim ini berkata, sifatnya yang tidak pernah duduk diam mendorongnya untuk melakukan pelbagai aktiviti sukan.

“Saya seorang yang hyperaktif. Saya boleh main badminton, bola sepak serta berbasikal.

“Pendek kata kalau boleh semua jenis sukan saya hendak cuba. Bukan bermakna saya hendak menunjuk-nunjuk yang saya boleh bermain semua jenis sukan.

“Tetapi, inilah sebenarnya diri saya. Yang penting dengan semua aktiviti sukan ini saya boleh amalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai aktiviti bola sepak, Hafizh yang sudah berumahtangga berkata, ia antara sukan yang sangat diminatinya sehingga sanggup mengambil inisiatif membentuk pasukan yang diberi nama Pescao Rosar sejak 2016.

“Untuk pasukan ini, saya membantu mereka daripada sudut penajaan seperti jersi.

“Jika ada duit lebih, saya akan membayar kadar sewa padang supaya mereka boleh bermain dengan percuma.

“Sebenarnya kebanyakan mereka adalah rakan saya yang sama-sama membesar di Ampang. Apabila ada pasukan ini, sekurang-kurangnya ada aktiviti berfaedah yang mereka lakukan,” katanya.

Mempunyai wajah seiras bintang Brazil, Neymar, Hafizh mengakui ia sedikit sebanyak menyebabkannya meminati penyerang lincah itu.

“Sebenarnya ramai yang berkata saya ada iras-iras Neymar. Jadi, secara tak langsung saya mula meminatinya.

“Dia adalah pemain yang mempunyai kemahiran tinggi. Ada beberapa kemahirannya yang saya cuba belajar.

“Pasukan pilihan saya pula adalah Barcelona. Kenapa? Pertamanya ialah saya berpangkalan di sana. “Keduanya, bapa saudara saya pula amat meminati kelab itu dan ia sedikit sebanyak mempengaruhi saya untuk menyokong Barcelona,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 9:00 AM
HAFIZH (kanan) mempamerkan skil ketika bermain bola.
HAFIZH (kanan) mempamerkan skil ketika bermain bola.