FAZURA tampil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi meneruskan perbicaraan saman terhadapnya dan syarikat Universal Music tadi.
FAZURA tampil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi meneruskan perbicaraan saman terhadapnya dan syarikat Universal Music tadi.
Murni Wan Omar


PELAKON dan penyanyi, Fazura memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa beliau hanya mengikut arahan syarikat Universal Music Sdn Bhd yang menguruskan kerjaya seninya apabila tidak meneruskan perjanjian dengan pemilik syarikat produk kesihatan, Maydan Trading kerana ia sudah dibatalkan.

Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 35, berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakilinya dalam kes saman dikemukakan pemilik syarikat Maydan, Narhamdan Abd Malek terhadapnya dan Universal Music.

Menurutnya, ketika menjadi duta produk Q-Tab, beliau sudah menjalankan tugas antaranya mengadakan sidang akhbar dan memuat naik tiga posting di akaun Instagram miliknya.

“Sepatutnya saya perlu membuat lima penampilan awam dan sembilan posting di Instagram. Bagaimanapun saya tidak melengkapkannya atas arahan Universal Music.

“Ia berikutan Universal Music memaklumkan bahawa plaintif (Narhamdan) ada menghantar notis tuntutan dan membatalkan serta menolak perjanjian antara mereka,” katanya.

Fazura yang turut diwakili peguam, Nooron Aini Zakaria berkata, beliau bersedia untuk melaksanakan semua tugasan itu jika diarahkan oleh Universal Music (defendan kedua) kerana ketika tempoh perjanjian belum tamat.

Terdahulu, Fazura melalui kenyataan saksinya memberitahu mahkamah bahawa beliau tahu mengenai Maydan Trading melalui pengurusnya, Iman Tang.

“Iman memberitahu saya bahawa Maydan Trading mahu mengambil saya sebagai duta produk mereka. Saya memaklumkan supaya Iman berurusan dengan defendan kedua selaku syarikat yang bertanggungjawab menguruskan segala urusan kerja seni saya termasuk menandatangani sebarang kontrak sebagai duta produk.

“Iman adalah pengurus peribadi terhadap jadual dan perjalanan kerja seni tetapi semua keputusan kerja seni termasuk menjadi duta produk tertakluk kepada ketentuan dan persetujuan defendan kedua kerana saya adalah artis di bawah pengurusan mereka,” katanya.

Menurutnya, Iman hanya melakukan perbincangan atau perundingan awal manakala keputusan muktamad dan meneruskan perjanjian terletak pada ketentuan defendan kedua.

Menjawab soalan berhubung perjanjian dengan plaintif, Fazura berkata beliau tidak terbabit dengan sebarang perjanjian dengan Maydan Trading.

“Berdasarkan perjanjian ia ditandatangani oleh plaintif dan defendan kedua manakala saya hanya menjalankan tugasan sebagaimana arahan yang diberikan oleh defendan kedua.

“Saya juga tidak terbabit dalam perbincangan mengenai terma dan syarat perjanjian dengan plaintif. Oleh itu tiada misrepresentasi daripada pihak saya,” katanya.

Berhubung penggambaran gambar produk plaintif di United Kingdom, London dan New York, Amerika Syarikat, Fazura berkata tiada syarat begitu dalam perjanjian.

“Kontrak perjanjian plaintif dengan Universal Music adalah berjumlah RM200,000. Bayaran yang sudah dibuat RM156,000 sahaja. Ia hanya membabitkan penggambaran di Malaysia sahaja kerana jika luar negara ia lebih lagi.

“Pengalaman saya sebagai duta produk, kemunculan saya sahaja RM50,000 dan muat naik posting adalah RM20,000. Jumlah yang dikenakan kepada plaintif adalah berpatutan dan mengikut budibicara saya kerana ketika itu saya mahu menolong syarikat baru sepertinya,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Wilson Lim yang mewakili Universal Music, Fazura bersetuju bahawa syarikat itu lebih cenderung dalam isu pelaksanaan kontrak dan terma perjanjian.

Dalam prosiding itu, Maydan Trading diwakili peguam, Dzaki Ezhar Bahar dan Sunita Sankey.

Perbicaraan bersambung 6 dan 8 Mei hadapan. Pada 16 Disember 2017, Narhamdan menfailkan saman terhadap Fazura dan Universal Music.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 7:50 PM