SEVENTEEN buktikan mampu berkembang dengan menyanyi pelbagai genre hasil tulisan dan gubahan sendiri.
SEVENTEEN buktikan mampu berkembang dengan menyanyi pelbagai genre hasil tulisan dan gubahan sendiri.
Ardini Sophia Sina

WALAU hanya sebentar, peminat yang hadir pada majlis ramah mesra Sabtu lalu sangat berpuas hati dengan peluang bertemu Seventeen.

Sorakan dan jeritan keterujaan memenuhi segenap ruang pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur.

Hadir dengan 11 anggota, ia sedikit pun tidak mengecewakan peminat. Malahan, kedatangan mereka pastinya memberikan satu lagi memori indah buat peminat Seventeen yang juga digelar sebagai ‘Carat’.

Tiba dua jam lewat daripada masa dijadualkan, peminat sedikit pun tidak berganjak dari situ. Mereka terus setia dan menyanyi dengan penuh semangat setiap kali lagu Seventeen dimainkan penganjur.

Sebaik saja 11 anak muda itu tiba, pekikan peminat mulai kedengaran. Malahan, setiap kali seorang daripada mereka bercakap, ia akan disahuti laungan gembira daripada mereka.

Begitulah keterujaan peminat yang sempat hadir sebagai tanda sokongan dan tanda kasih sayang mereka terhadap kumpulan popular dari Korea Selatan itu.

Ketika dalam satu temu bual ringkas dikendalikan pengacara, Vernon meluahkan rasa kagum dengan kesetiaan yang ditunjukkan oleh peminat. Dia juga berterima kasih atas kehadiran peminat meraikan Seventeen.

“Kesabaran dan kesetiaan anda menanti kedatangan kami membuatkan saya kagum. Saya sangat berterima kasih atas sokongan yang anda berikan. Saya berharap anda semua sentiasa gembira pada tahun baru ini.

PEMINAT mendapatkan autograf. FOTO Mahzir Mat Isa
PEMINAT mendapatkan autograf. FOTO Mahzir Mat Isa

“Melihat kehadiran ribuan peminat yang hadir membuatkan saya terharu. Kami sayang anda semua. Saya harap kita akan terus bertemu pada masa akan datang,” katanya.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 2015 di bawah syarikat pengurusan Pledis Entertainment itu mula mendapat perhatian peminat antarabangsa selepas berjaya disenaraikan dalam carta Billboard untuk kategori carta terbaik dunia menerusi album ‘17 Carat’.

Pernah mengadakan konsert Diamond Edge pada 2017, kumpulan itu tidak menolak untuk sekali lagi mengadakan acara sama bagi menghiburkan peminat mereka di Malaysia.

Kata Joshua, jadual mereka agak padat dengan pelbagai aktiviti dan komitmen. Namun, andai ada masa terluang, Malaysia antara destinasi pilihan untuk mereka mengadakan konsert.

“Kami ada perancangan untuk sekali lagi datang mengadakan konsert di sini. Bagaimanapun, andai ada masa terluang dan permintaan tinggi daripada peminat, pasti kami akan penuhi permintaan ini.

“Kami sangat menghargai sokongan peminat. Apa yang kami boleh lakukan adalah menghiburkan peminat dengan mengadakan sebuah konsert. Kami cuba sebaik mungkin untuk adakan konsert di sini,” katanya.

Selain Joshua dan Vernon, sembilan lagi anggota yang hadir ialah S Coups, Jeonghan, Hoshi, Wonwoo, Woozi, DK, Mingyu, Seungkwan dan Dino. Dua anggota iaitu Jun dan The8 tidak dapat bersama mereka.

TIDAK lepas peluang rakam wajah penyanyi pujaan. FOTO Mahzir Mat Isa
TIDAK lepas peluang rakam wajah penyanyi pujaan. FOTO Mahzir Mat Isa

Diangkat sebagai wajah rangkaian produk jenama The Saem, Seventeen sempat berkongsi rutin penjagaan harian mereka bagi mengekalkan kesihatan dan kesegaran wajah.

Kata Wonwoo, apa yang paling penting adalah mencuci muka dengan bersih sebaik saja selesai aktiviti sepanjang hari. Mereka tidak membiarkan mekap itu sehingga keesokan hari.

“Saya rasa, cara penjagaan wajah kami lakukan sama seperti orang lain. Kalau saya, perkara pertama yang dilakukan adalah membersihkan solekan dan membasuh muka sebaik saja selesai aktiviti dilakukan. Jangan biarkan solekan itu dan basuh pada keesokan harinya,” katanya.

Pada 21 Januari lalu, Seventeen tampil dengan album EP keenam berjudul You Made My Dawn.

Menerusi buah tangan itu, Seventeen terus membuktikan mereka mampu berkembang dengan menyanyi pelbagai genre dengan hasil tulisan dan gubahan sendiri.

Di bawah satu kumpulan, mereka dibahagikan kepada tiga sub unit mengikut kelebihan masing-masing. S Coups. Wonwoo, Mingyu dan Vernon adalah unit hip hop manakala Woozi, Jeongshan, Joshua, DK serta Seungkwan adalah unit vokal. Sementara itu, Hoshi, Jun, The8 dan Dino pula adalah unit persembahan.

Lagu yang dimuatkan menerusi You Made My Dawn adalah hasil kreativiti tiga unit berkenaan.

Walaupun penat dengan jadual serta proses rakaman album, mereka tetap berpuas hati dengan maklum balas peminat.

Menerusi satu temu bual, kata Mingyu, mereka meletakkan usaha besar bagi merealisasikan album berkenaan. Mereka sangat bersyukur dengan maklum balas positif yang diterima.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 6:31 AM