SUSPEK meninggalkan motosikal dan beg tangan yang diragut selepas terjatuh ketika cuba melarikan diri. FOTO ihsan polis
SUSPEK meninggalkan motosikal dan beg tangan yang diragut selepas terjatuh ketika cuba melarikan diri. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi

Gombak: Lelaki terbabit dalam kejadian samun seorang wanita di Taman Ehsan, di sini, kelmarin ditahan polis di rumahnya, semalam.

Dalam kejadian 7.45 pagi itu, wanita berusia 57 tahun hendak membuka pintu kereta di rumahnya sebelum didatangi suspek berusia 33 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda sebelum meragut beg tangan mangsa.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek terus melarikan diri, namun suami mangsa dan jiran sebelah rumah mengejar lelaki itu hingga ke jalan besar Taman Ehsan.

"Tiba-tiba suspek terjatuh dan melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya di tepi jalan serta beg tangan milik pengadu.

"Bertindak atas maklumat, pad 30 petang semalam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pergi ke sebuah rumah di Kampung Selayang Lama, Kuala Lumpur dan menahan suspek yang disyaki terbabit dalam kes ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, hasil siasatan mendapati jarak rumah mangsa dengan tempat motosikal suspek ditemui di tepi jalan lebih kurang 500 meter.

Beliau berkata, suspek disyaki terbabit dalam kes samun terhadap mangsa secara berseorangan dan terjatuh ketika dalam proses melarikan diri.

"Suspek direman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Semakan mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 7:22 PM