GAMBAR dari udara menunjukkan kerosakan akibat kebakaran yang meragut 70 nyawa. FOTO EPA
GAMBAR dari udara menunjukkan kerosakan akibat kebakaran yang meragut 70 nyawa. FOTO EPA
AFP

DHAKA: Bebola api kimia menghujani orang ramai dan menyebabkan beca di jalan terbakar, manakala letupan menggegarkan persekitaran dengan orang ramai yang diselubungi api bertempiar menyelamatkan diri dalam kebakaran besar yang meragut 70 nyawa di sebuah kejiranan di Dhaka.

Ramai mangsa di sebuah majlis perkahwinan dan sebuah restoran dilaporkan terperangkap kerana api yang berpunca daripada sebuah bangunan yang menyimpan bahan kimia itu merebak dengan cepat.

Kebakaran besar itu bermula pada jam 10.40 malam (waktu tempatan) kelmarin di Chawkbazar di Mughal, Dhaka. Bahan kimia untuk menghasilkan deodoran dan keperluan rumah yang disimpan secara haram dipercayai menjadi punca letupan dan kebakaran yang merebak ke empat bangunan itu.

Imej televisyen turut menunjukkan beberapa pintu di sebuah bangunan berkunci menyebabkan ramai penghuninya gagal menyelamatkan diri.

Keadaan diburukkan lagi dengan keadaan jalan raya di kawasan kejadian sesak dan sempit hingga menyukarkan jentera bomba tiba ke lokasi kebakaran.

Pengarah bomba Bangladesh, Ali Ahmed berkata, sekurang-kurangnya 70 mangsa maut dalam kebakaran itu dan jumlah kematian dijangka meningkat.

Doktor memberitahu, 55 mangsa cedera dengan sekurang-kurangnya 10 berada dalam keadaan kritikal.

TANGAN seorang mangsa yang maut terkulai di celah runtuhan. FOTO EPA
TANGAN seorang mangsa yang maut terkulai di celah runtuhan. FOTO EPA

Ali memberitahu, api mungkin berpunca daripada sebuah tong gas dan merebak ke beberapa rumah di dalam beberapa apartmen di mana bahan kimia itu disimpan.

Bahan kimia yang digunakan untuk membuat produk kegunaan rumah turut disimpan di bangunan bersebelahan dan meletup apabila api merebak.

“Jalan raya sesak teruk ketika kebakaran berlaku. Api merebak dengan cepat hingga mangsa tidak sempat menyelamatkan diri,” kata Ali.

Timbalan ketua polis Dhaka, Ibrahim Khan berkata, dua kereta dan 10 teksi motosikal terbakar dalam kejadian itu.

Katanya, mangsa yang maut termasuk pengguna jalan raya, pelanggan sebuah restoran dan tetamu yang menghadiri satu majlis perkahwinan.

“Saya melihat mayat seorang wanita rentung yang masih meriba anaknya di dalam sebuah teksi motosikal yang terbakar,” kata seorang saksi.

Seorang peniaga, Abdul Kader memberitahu, restorannya musnah namun dia terselamat kerana pergi ke farmasi berhampiran.

“Ketika berada di dalam farmasi, saya terdengar bunyi letupan kuat. Apabila menoleh saya melihat seluruh jalan yang penuh dengan kereta dan teksi motosikal terbakar. Saya lihat api di mana-mana,” katanya.

ANGGOTA keluarga meratapi kematian mangsa.FOTO Reuters
ANGGOTA keluarga meratapi kematian mangsa.FOTO Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 7:01 AM