SCHA mahu memberikan fokus sepenuhnya dahulu kepada anak kecil, Lyla Amina.
SCHA mahu memberikan fokus sepenuhnya dahulu kepada anak kecil, Lyla Amina.
Sudirman Mohd Tahir

Selepas melahirkan anak kedua Lyla Amina pada 12 Februari lalu dan tamat tempoh berpantang, kerjaya pelakon Scha Alyahya kembali sibuk.

Scha, 38, atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya yang turut menjadi duta produk penjagaan wajah Meeracle sudah mula turun padang.

Namun, dalam kesibukan itu, Scha yang juga isteri kepada pengacara popular, Awal Ashaari berkata, tanggungjawab dan fokus tetap tertumpu kepada anak kecilnya yang bakal menginjak usia dua bulan.

Menurut Scha, menjadi ibu kepada dua anak bukan tugas mudah kerana dia perlu memberikan tumpuan dan perhatian sama rata juga buat anak sulungnya, Lara Alana, 7.

"Menjadi ibu kepada dua anak ini mencabar. Pada mulanya nak sesuaikan diri dengan dua anak ingat senang, tapi sebenarnya mencabar. Yang nombor satu pun nak perhatian. Nombor dua pula memang 100 peratus kena beri perhatian. Banyak nak kena buat.

"Apabila Lyla menangis, Lara pula buat-buat menangis. Apabila Lyla nak kena tepuk, Lara pun nak juga. Jadi, kena tepuk dua-dua. Perhatian tu pun banyak kepada Lara juga sebab dia sudah besar, faham dan cepat terasa.

"Jadi, itulah cabaran kena lalui sekarang yang mana saya kena sentiasa ingatkan diri sendiri dan Awal, yang pertama jangan lupa. Kadang-kadang kalau ke mana-mana pun orang akan fokus pada Lyla. Saya akan tengok pada Lara, saya akan pergi pada Lara. Jadi itu antara cabaran," katanya.

Dalam masa sama, Scha berkongsi dia akan memastikan urusan kerja dan rumah sentiasa teratur.

"Kalau cabaran kerja, saya suka tersusun. Jika rumah, kena pastikan sentiasa bersih dan sudah diatur. Saya akan bangun awal dan tolong pembantu rumah untuk pastikan semua berjalan lancar.

"Kalau dulu anak satu, laju saja. Tapi apabila sudah dua, pembantu saya pun kadang-kadang tak menang tangan. Jadi, saya ada Awal banyak terbabit dengan Lyla," katanya.

Mengenai kerjaya lakonan pula, Scha berkata, buat masa sekarang dia mahu memberi fokus kepada anak kecilnya yang masih menyusu badan sepenuhnya.

Di samping itu, Scha dalam rangka mempromosikan filem Air Force yang bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.

"Memang ada mendapat tawaran. Soalan pertama pengarah adalah, sedia atau tak? Jadi itu yang saya pertimbangkan sekarang. Bagi saya mungkin belum lagi nak berlakon. Lyla pun masih kecil. Kalau boleh sekarang ini nak menyusukan sepenuhnya jadi itu fokus saya. Kalau ada tawaran kerja seperti menghadiri acara atau buat kempen, okey lagi," katanya.

SCHA teruja menjadi duta jenama Meeracle selain dapat berkongsi kejayaan dengan peniaga.
SCHA teruja menjadi duta jenama Meeracle selain dapat berkongsi kejayaan dengan peniaga.

Bercerita mengenai pembabitannya sebagai duta jenama Meeracle, Scha mengakui gembira apabila dapat bersama mereka sekali gus melihat pelbagai kejayaan diraih peniaga yang terbabit.

"Sejujurnya apabila saya melihat mereka yang hadir saya berasa macam berbesar hati sebab saya ada dalam keluarga jenama ini. Saya tahu macam mana susahnya nak capai apa yang mereka dapat hari ini.

"Untuk menjadi salah seorang ahli keluarga baharu ia membakar semangat saya. Tanpa mereka saya tiada di sini. Terima kasih sebab memilih saya.

"Saya terpanggil untuk menerima tawaran mereka pada awalnya bukan sebab mereka hasilkan produk berkualiti dan bagus saja, selain itu banyak wakil stokis yang berjaya. Jadi, dengan kehadiran saya sedikit sebanyak membantu mereka yang nak berniaga dari rumah atau yang nak mencari pendapatan lebih. Secara tak langsung dapat juga saya berikan sesuatu kepada mereka.

"Alhamdulillah, sudah hampir setahun saya menjadi duta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. Insya-Allah kalau ada rezeki panjang mungkin saya akan terus bersama mereka. Sebab saya tak suka buat sikit-sikit dan separuh jalan. Saya nak buat 'all out'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 6:16 AM