Kemalangan maut di KM265.6, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan.
Kemalangan maut di KM265.6, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


REMAJA perempuan dan kanak-kanak lelaki maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan bas di Kilometer 265.6 Lebuhraya Utara -Selatan arah selatan berhampiran Bandar Ainsdale, Seremban, hari ini.

Pengarah bomba Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, seorang lagi wanita dewasa beserta seorang kanak-kanak prempuan dan tiga kanak-kanak lelaki parah dalam kejadian 1.56 pagi itu.

Katanya, siasatan awal mendapati tujuh individu berkenaan menaiki kereta dari Kuala Lumpur menuju Seremban.

"Sebaik tiba di lokasi, kereta itu cuba mengelak sebuah motosikal di hadapan lalu hilang kawalan merempuh pembahagi jalan sebelah kanan. Kereta itu berpusing beberapa kali dan dilanggar sebuah bas ekspress dari arah belakang," katanya.

Beliau berkata, rempuhan menyebabkan seorang remaja dan kanak-kanak tercampak keluar kenderaan dan maut di lokasi.

"Pihak bomba menerima panggilan pada 1.57 pagi mengerahkan tujuh anggota ke lokasi sebelum tiba pada 2.12 pagi.

"Sebaik tiba, masing-masing seorang remaja perempuan dan kanak-kanak lelaki didapati maut di lokasi, manakala lima individu lain dalam kereta berkenaan parah," katanya.

Norazam berkata, 29 penumpang dan pemandu bas terbabit pula selamat.

"Dua mayat mangsa dan lima mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, di Seremban," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 8:05 AM