Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PELAJAR Kolej Vokasional Kuala Klawang yang maut dalam kemalangan bas di Jalan Kuala Klawang-Seremban, Bukit Tangga, dekat Seremban semalam adalah Muhammad Firdaus Syahrul Azam yang berusia 17 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul berkata, remaja itu menaiki bas awam dari Kuala Klawang sebelum mahu menukar bas lain di Terminal One, Seremban.

Katanya, berikutan cuti sekolah, mangsa mahu pulang ke rumah keluarganya di Bestari Jaya, Selangor bagi membuat persiapan Aidilfitri.

“Bagaimanapun, pelajar ini maut dalam kemalangan itu,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurut Ibrahim, kemalangan itu membabitkan 21 pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang, 11 pelajar Maktab Rendah Sains Mara Kuala Klawang, tiga orang awam, tiga penumpang kenderaan utiliti sukan (SUV) X-Trail dan pemandu bas, Othman Iberahim, 51.

JELEBU 23 MEI 2019. Keadaan kemalangan melibatkan bas awam dan kereta di jalan Kuala Klawang - Seremban dekat Bukit Tangga. NSTP/IHSAN PEMBACA
JELEBU 23 MEI 2019. Keadaan kemalangan melibatkan bas awam dan kereta di jalan Kuala Klawang - Seremban dekat Bukit Tangga. NSTP/IHSAN PEMBACA

“Siasatan polis mendapati kemalangan berlaku apabila bas membawa 35 penumpang dari Kuala Klawang hilang kawalan lalu merempuh SUV terbabit yang berada di hadapan. Akibatnya, bas itu terbabas di kaki bukit manakala SUV terbalik di tengah jalan,” katanya.

Akibat kejadian itu, seorang pelajar lelaki maut, tiga pelajar perempuan parah dan masing-masing lima pelajar lelaki dan 12 pelajar perempuan cedera.

“Dalam kejadian ini, 10 pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan MRSM cedera manakala pemandu bas luka di kepala serta patah kaki kiri,” katanya memberitahu tiga orang awam turut tercedera.

Pemandu SUV, Wong Nyen Chaw, 58 luka di kepala dan dua penumpangnya cedera dengan mayat dan semua mangsa dibawa ke Hospital Jelebu untuk rawatan lanjut.

“Buat masa ini polis masih menjalankan siasatan dan akan menjalankan ujian darah serta alkohol terhadap pemandu bas. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita berkaitan

Tragedi pulang ke kampung

[UPDATE] 12 pelajar MRSM Kuala Klawang cedera kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 8:40 AM