Raja Noor Jan menunjukkan laporan polis yang dibuat. FOTO ihsan Raja Noor Jan
Raja Noor Jan menunjukkan laporan polis yang dibuat. FOTO ihsan Raja Noor Jan
Mohd Hilmie Hussin


AHLI perniagaan yang pernah mendakwa dirinya ‘Sultan Melaka’, Raja Noor Jan Shah Raja Tuah mendakwa dirinya menjadi bahan gurauan dan ejekan menerusi laman sosial yang menggunakan nama Sultan Melaka.

Tidak mahu terus menjadi bahan gurauan dan ejekan, dia tampil membuat laporan polis.

Noor Jan berkata, laporan yang dibuatnya di Balai Polis Gombak pada 22 Januari lalu itu, mendakwa beberapa pengendali akaun laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram menggunakan namanya untuk meraih populariti dan keuntungan peribadi.

“Saya tidak pernah mempunyai akaun Fanpage, Facebook, Twitter ataupun Instagram dan setiap akaun berkaitan, tiada kena mengena dengan saya iaitu Raja Noor Jan Shah Raja Tuah.

“Saya kecewa melihat pengendali akaun laman sosial ini yang turut menggunakan frasa nama seperti Sultan Melaka, Sultan Melaka Fan dan pelbagai lagi nama yang dikaitkan dengan Sultan Melaka serta menjadikan gambar saya sebagai penghias akaun mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Jan berkata, paling dikesali apabila kebanyakan akaun itu menggunakan kata-kata kesat yang kurang sopan dan keterlaluan.

“Mereka meletakkan gambar yang diubah suai, mengguna kata-kata biadab hingga menjadikan akaun itu semakin popular dengan kecaman dan kritikan masyarakat. “Malah, pelbagai isu politik dimainkan pengendali akaun hingga timbul rasa kurang senang segelintir pihak.

“Mereka buat hal, orang sangka angkara saya,” katanya.

Menurut mendakwa, laporan sama pernah dibuatnya pada 2014 namun tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa.

Sebaliknya, beliau mendakwa laman terbabit lebih ‘galak’ menggunakan namanya hingga berterusan menjadi ejekan dan gurauan.

“Saya benar-benar meminta jasa baik pihak berkuasa segera ambil tindakan berhubung perkara ini supaya menjadi pengajaran dan iktibar kepada mereka yang sengaja menggunakan nama saya untuk meraih populariti dan keuntungan peribadi,” katanya.

Awal bulan ini, pelakon dan pelawak, Tauke Jambu atau nama sebenar Zamatul Amri Zakaria, 42, membuat laporan polis dan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama ‘Sultan Melaka’ susulan fitnah dan cacian yang dilontarkan terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 8:28 PM