WANIE KAYRIE. -Foto Nurul Syazana Rose Razman
WANIE KAYRIE. -Foto Nurul Syazana Rose Razman
Noriza Sainal


WALAUPUN sambutan tahun baru sudah berlalu, kehangatannya masih terasa.

Ada yang masih merangka azam baru dan tidak kurang sedang mengejar azam lama belum terlaksana.

Begitu juga dengan penyanyi meningkat naik, Wani Kayrie yang berhasrat memenuhi azam lamanya yang tertangguh tahun lalu.

“Selepas SPM saya memang memberikan laluan kepada kerjaya. Ketika itulah saya menyertai program realiti Big Stage dan kemudian terus ke Indonesia untuk menyertai D’ Academy Asia (DAA) musim keempat. Saya tangguhkan pengajian buat sementara waktu untuk fokus kepada nyanyian.

“Namun, pada masa sama kerjaya nyanyian akan diteruskan seperti biasa dan mahu fokus pada kedua-dua bidang untuk tahun ini,” katanya.

Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah berkata, dia tidak pernah melihat statusnya sebagai pelajar akan menjejaskan momentum kerjayanya.

Dengan keputusan cemerlang diterima pada SPM lalu, Wani sememangnya seorang yang mengutamakan pelajaran.

Selain itu, penyanyi berusia 19 tahun yang kerap tampil dengan lagu genre balada ini ada perancangan untuk mencuba nasib dengan membawakan lagu berentak lebih rancak sesuai dengan usianya dan permintaan peminat.

Bagaimanapun, buat masa ini Wani masih dalam proses mencari komposer dan penulis lirik yang dapat menghasilkan lagu menepati selera pendengar tidak hanya di Malaysia tetapi juga Indonesia.

“Sepanjang tempoh pembabitan dalam dunia seni, memang ada lagu rancak yang saya bawakan tetapi lebih banyak berentak balada. Bukan tidak mampu nyanyikan genre sebegitu tetapi saya mahukan sesuatu yang lebih segar.

“Tambahan pula saya baru habis dengan DAA dan saya dapat maklum balas positif ketika menyanyi bersama Inul Daratista. Memang ramai yang mencadangkan supaya saya nyanyikan lagu rancak seperti pop atau dangdut.

“Oleh itu, saya ingin mencuba dan lihat sejauh mana penerimaan mereka. Kalau boleh, saya mahu sebuah lagu yang menepati kehendak pendengar di Malaysia tetapi pada masa sama dapat menambat hati peminat baharu di Indonesia,” katanya.

Bakal memulakan pengajiannya dalam bidang Asasi Undang-Undang di Management and Science University (MSU) pada April nanti, dia bakal menggunakan masa terluang untuk mencari material bagi lagu barunya.

“Saya sedar, sekarang ini nama saya jadi bualan dan semakin ramai yang mengenali. Sebab itulah saya perlukan sebuah lagu ‘catchy’ supaya orang tetap ingat saya,” katanya.

Bakal menamatkan kontrak dengan Suria Record (SRC) pada September ini,kata Wani, dia berkemungkinan tidak akan menyambung kontrak bersama syarikat itu.

Katanya, lima tahun berada di bawah SRC, tiba masa untuk cuba menguruskan kerjaya sendiri sebelum membuat keputusan sama ada terikat dengan syarikat lain atau sebaliknya.

“Saya ada album yang bakal dilancarkan tahun depan. Pada masa sama, saya masih dalam rangka promosi untuk lagu Saat Terindah. Bagaimanapun, sebaik saja tamat kontrak, saya mungkin tidak akan sambung semula.

“Saya sangat berterima kasih kepada SRC kerana menjaga saya dengan baik dan membantu mengembangkan kerjaya seni. Tetapi, sudah tiba masa untuk saya cuba uruskan kerjaya sendiri,” katanya.

‘Bila masa pula saya nak kahwin?’

Selepas tamat pertandingan Big Stage, timbul khabar angin mengatakan Wani bercinta dengan penyanyi muda, Afieq Shazwan.

Tidak hanya setakat itu, timbul spekulasi yang mengatakan mereka akan berkahwin dalam masa terdekat.

Menjelaskan perkara itu, kata Wani, dia sendiri terkejut apabila ada pihak yang mendakwa kononnya mereka akan berkahwin. Masih muda dan ingin fokus pada kerjaya, perkara itu tidak mungkin akan terjadi.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya dan Afieq sudah lama kenal serta rapat ketika pertandingan itu. Bagaimanapun, tidaklah sampai tahap bercinta. Kami hanya kawan.

“Bagaimanapun, kalau sudah tertulis jodoh kami, tidak mungkin saya dapat menolak. Tetapi, memang kami hanya kawan dan tidak mungkin akan berkahwin dalam masa terdekat. Saya masih muda dan mahu fokus pada pelajaran dan karier,” katanya.

Ingin memenuhi azam 2018 yang tidak terlaksana, kata Wani, dia berharap dapat memenuhi impian ibunya untuk melancong ke Eropah tahun ini.

“Saya kurang gemar pergi ke tempat yang ramai orang. Saya lebih suka

ke New Zealand atau Switzerland tetapi, ibu ingin merasai pengalaman berada di Eropah.

“Sebenarnya tahun lalu saya ingin bawa dia ke sana namun disebabkan sibuk dengan beberapa perkara maka tidak dapat dilaksanakan. Saya harap dapat tunaikan impian ibu pada tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 5:31 AM