FIRDAUS (duduk di tengah) bersama empat badut yang bernaung di bawah syarikatnya, MrCheese DeClown Entertainment. FOTO/NSTP
FIRDAUS (duduk di tengah) bersama empat badut yang bernaung di bawah syarikatnya, MrCheese DeClown Entertainment. FOTO/NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: “Kalau boleh, saya mahu jadikan kerjaya badut sebagai satu bidang profesional dan bukan lagi penghibur jalanan yang hanya menjual belon semata-mata,” kata Presiden Persatuan Badut Johor, Mohammad Firdaus Mohammed Amirruddin, 35.

Mohammad Firdaus yang juga dikenali sebagai Mr Cheese DeClown berkata, dia bekerja sebagai pengawal peribadi, tetapi mula mengambil tawaran sebagai badut pada hujung minggu sejak enam tahun lalu kerana minat serta keinginannya mencuba sesuatu yang baharu.

Beliau berkata, pada mulanya, dia sekadar mengambil tawaran di pusat beli-belah dan program karnival saja, namun keinginan meningkatkan imej badut mendorongnya menubuhkan syarikat sendiri, MrCheese DeClown Entertainment yang kini dianggotai 14 ahli di sekitar Johor.

MOHAMMAD Firdaus bekerja sambilan sebagai badut sejak enam tahun lalu kerana minat menghiburkan orang ramai
MOHAMMAD Firdaus bekerja sambilan sebagai badut sejak enam tahun lalu kerana minat menghiburkan orang ramai

“Sebenarnya, sudah lama saya memasang impian menjadi badut, tetapi hasrat itu tertangguh disebabkan kekangan masa dan kesibukan kerja sebagai pengawal peribadi sehingga ia menjadi kenyataan pada 2012.

“Pada mulanya, hanya keluarga saja yang tahu mengenai perkara itu dan saya memilih merahsiakannya daripada pengetahuan rakan sebaliknya hanya berkongsi gambar berkaitan kerjaya sambilan sebagai badut di laman sosial selepas enam bulan menceburi pekerjaan berkenaan.

“Namun, selepas saya memuat naik gambar , beberapa rakan menjauhkan diri tanpa saya tahu sebabnya, tetapi kerana minat saya terus mengambil tawaran sebagai badut hingga kini. Lagipun keluarga memberi sokongan,” katanya yang menetap di Taman Daya, Johor Bahru.

Bercerita lanjut, Mohammad Firdaus berkata, memandangkan tiada pengalaman, dia terlebih dulu mempelajari kemahiran asas seperti teknik memintal belon dan menyolek wajah dengan syarikat perancang majlis yang mengambilnya bekerja.

Katanya, seminggu selepas itu, dia memulakan tugas di Johor Premium Outlet (JPO) Kulai dan mengakui rasa janggal dan kurang keyakinan kerana kali pertama muncul di khalayak sebagai badut.

“Untuk permulaan, saya muncul di acara ditemani badut senior sebelum diberi kepercayaan bergerak sendiri selepas tiga bulan.

MOHAMMAD Firdaus mampu mengubah karakter menjadi periang walaupun karakternya tegas ketika bertugas sebagai pengawal peribadi.
MOHAMMAD Firdaus mampu mengubah karakter menjadi periang walaupun karakternya tegas ketika bertugas sebagai pengawal peribadi.

“Sepanjang tempoh berkenaan, saya tidak terbabit dalam persembahan, tetapi mengambil inisiatif sendiri menimba ilmu daripada rakan badut termasuk daripada sekitar Kuala Lumpur.

“Selepas enam bulan, saya memberanikan diri mengambil tawaran melakukan persembahan badut seperti silap mata, tarian, dan lain-lain lagi,” katanya.

Mohammad Firdaus berkata, meskipun masih terikat dengan pekerjaan hakiki sebagai pengawal peribadi, dia dapat membahagikan masa dengan baik kerana tawaran sebagai badut hanya diambil pada hujung minggu.

Malah, dia juga tiada masalah menjadi periang dan ceria ketika menghiburkan orang ramai di majlis atau program disertai walaupun ia berbeza dengan karakternya yang sebenar.

“Sejujurnya, saya tidak pernah bertemu dengan badut, jauh sekali melihat persembahan penghibur itu namun apa yang saya cuba lakukan adalah mencipta identiti sendiri.

“Bukan saja dari segi persembahan tetapi solekan dan penampilanserta saya bersyukur kerana isteri, Nor Aida Mohd Nurong, 37, banyak membantu terutama dalam menghasilkan pakaian untuk digunakan ketika persembahan.

“Sepanjang menceburi bidang ini, banyak pengalaman ditimba, namun paling membuatkan saya terharu apabila kanak-kanak enggan saya beredar daripada majlis kerana seronok melihat persembahan,” katanya yang pernah diiktiraf sebagai Badut Paling Ceria daripada Pertubuhan Badut Sedunia pada November lalu.

GELAGAT MOHAMMAD Firdaus yang juga dikenali sebagai MrCheese DeClown.
GELAGAT MOHAMMAD Firdaus yang juga dikenali sebagai MrCheese DeClown.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 7:12 AM