BANDAR Lonyearbyen di Svalbard, Norway yang hanya mempunyai 2,000 penduduk. FOTO AFP
BANDAR Lonyearbyen di Svalbard, Norway yang hanya mempunyai 2,000 penduduk. FOTO AFP
AFP

Oslo: Seorang lelaki ditahan beberapa jam selepas merompak bank di lokasi paling terpencil di utara dunia iaitu sebuah perkampungan di kepulauan Artik di Svalbard, Norway.

Ibu negeri Svalbard iaitu Lonyearbyen hanya memiliki kira-kira 2,000 penduduk dan semua mereka saling mengenali antara satu sama lain. Satu-satunya pengangkutan yang ada ialah menggunakan kapal terbang.

Ia adalah rompakan pertama terhadap bank berkenaan yang terletak di Lautan Artik yang memisahkan Norway dengan Kutub Utara.

Jurucakap gabenor tempatan, Terje Carlsen, berkata seorang lelaki bersenjata merampas sejumlah wang dan dia segera ditahan selepas itu.

Pihak berkuasa enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai lelaki berkenaan atau jumlah wang yang dicuri serta jenis senjata digunakan dalam rompakan.

Svalbard yang saiznya dua kali lebih besar berbanding Belgium, terletak kira-kira 1,000 kilometer dari Kutub Utara.

Suhu pada musim sejuk di situ mencecah bawah 20 Selsius dan boleh menjunam sehingga bawah 40 darjah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 7:00 AM