WARGA emas berusia 68 tahun didakwa atas tuduhan mencabul cucu tirinya ketika di bawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
WARGA emas berusia 68 tahun didakwa atas tuduhan mencabul cucu tirinya ketika di bawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


WARGA emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini, atas tuduhan mencabul cucu perempuan tirinya ketika berusia empat tahun, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu meninggal dunia pada Ogos 2015 akibat didera ibu tirinya.

Warga emas berusia 68 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Khairiah Abd Razak.

Dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan maksud mencabul kehormatannya di kediaman di Lukut antara Januari hingga Jun 2015.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, A Ashwini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula 17 Disember ini dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta dengan syarat tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai.

Sementara itu, pada 14 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap operator pengeluaran yang juga ibu tiri mangsa kerana menyebabkan kematian tanpa niat kanak-kanak terbabit.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya bagaimanapun pada 13 November tahun lalu, menambah hukumannya kepada 15 tahun selepas membenarkan rayuan pendakwaan yang memohon tempoh penjara lebih panjang terhadap ibu tiri mangsa.

Tertuduh pada mulanya menghadapi tuduhan membunuh tetapi kemudian mengaku bersalah terhadap tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat di rumah di Lukut, antara 3.30 petang dan 5.15 petang, 7 Ogos 2015.

Menurut fakta kes, tertuduh memukul tangan serta kaki kanak-kanak itu menggunakan penyangkut baju selepas berang apabila anak tirinya enggan makan, sebaliknya kanak-kanak itu memberi makanan kepada kucing peliharaan.

Kemudian dia menyuruh mangsa mandi, sebelum sekali lagi memarahi mangsa kerana enggan mandi.

Oleh kerana kanak-kanak itu tidak memberi respons dan hanya memandang tertuduh, mengakibatkan wanita itu semakin marah lalu menendang dada kanak-kanak itu.

Kanak-kanak itu kemudian ke bilik air untuk mandi, sebelum ibu tirinya bergegas ke bilik air selepas mendengar benda terjatuh dan mendapati kanak-kanak itu terbaring di kiri mangkuk tandas dalam keadaan tidak bernafas.

Laporan bedah siasat menunjukkan terdapat kesan luka lama dan baru pada mayat mangsa manakala kecederaan pada dadanya menjadi punca kematiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 2:11 PM