Sarah Zulkifli


LELAKI yang memasukkan anak saudara lelakinya ke dalam mesin basuh dalam kejadian di dobi layan diri di Bukit Sentosa, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini, atas pertuduhan melakukan perbuatan itu, minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Muhammad Irwan Abdul Jalil, 27, yang juga penganggur itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azmil Muntapha Abas yang bertindak sebagai Majistret.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memasukkan Shah Raiqal Shahril Sharizal yang berusia tiga tahun dalam mesin basuh di mana perbuatan itu dilakukan secara tergopoh-gopoh hingga membahayakan keselamatan kanak-kanak itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kedai Dobi Laundrybar No11&11-1 Jalan Orkid 1G/2 Sek BS1 Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor 12.30 tengah malam, 2 Oktober lalu.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azhwa Yusrie Mohamad menawarkan jaminan RM4,000 dengan penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu tidak membuat sebarang rayuan berikutan tiada penjamin yang hadir.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 November ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan gurauan melampau bapa saudara menyebabkan kanak-kanak terbabit terperangkap hampir 10 minit dalam mesin basuh di sebuah dobi layan diri.

Difahamkan, tindakan lelaki itu bergurau dengan anak saudaranya tidak disedari ibu kanak-kanak terbabit yang membasuh pakaian di premis itu pada 12.30 tengah malam.

Tindakannya memasukkan kanak-kanak terbabit dalam mesin basuh mengundang padah apabila pintu mesin basuh itu tidak dapat dibuka.

Kanak-kanak itu hanya dapat diselamatkan selepas beberapa individu memecahkan cermin pintu mesin basuh selepas usaha mengeluarkannya gagal.

Video kejadian itu berdurasi dua minit 46 saat turut tersebar di media sosial, memaparkan beberapa individu cuba menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

Berita berkaitan

Gurau tak bertempat [METROTV]

Suspek 'sumbat' budak, ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 2:10 PM
MUHAMMAD Irwan Abdul Jalil, 27, bapa saudara kepada seorang budak lelaki, Shah Raiqal Shahril Shahrizal, 3 yang di masukan ke dalam mesin basuh di kedai dobi layan diri di Bukit Sentosa di bawa oleh anggota polis untuk pendakwaan di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
MUHAMMAD Irwan Abdul Jalil, 27, bapa saudara kepada seorang budak lelaki, Shah Raiqal Shahril Shahrizal, 3 yang di masukan ke dalam mesin basuh di kedai dobi layan diri di Bukit Sentosa di bawa oleh anggota polis untuk pendakwaan di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman