LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Hasbi Sidek

LELAKI ditahan polis semalam, bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang terperangkap di dalam mesin basuh di sebuah dobi layan diri di Bukit Sentosa, Rawang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bak Phai berkata, suspek berusia 27 tahun yang juga bapa saudara kepada kanak-kanak berkenaan ditahan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hulu Selangor.

“Susulan daripada kejadian ini, seorang lelaki yang juga saudara kepada kanak-kanak yang terperangkap di dalam mesin basuh ditahan di IPD selepas dia memberi keterangan, petang semalam.

“Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 manakala ibu kanak-kanak yang berusia 25 tahun juga disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan gurauan melampau bapa saudara menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki terperangkap hampir 10 minit dalam mesin basuh di sebuah dobi layan diri.

Difahamkan, tindakan lelaki berusia 20-an itu bergurau dengan anak saudaranya tidak disedari ibu kanak-kanak berkenaan yang datang membasuh pakaian di kedai dobi itu, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Tindakannya memasukkan kanak-kanak itu dalam mesin basuh mengundang padah apabila pintu mesin basuh itu tidak dapat dibuka.

Video kejadian itu berdurasi dua minit 46 saat turut tersebar di media sosial, memaparkan beberapa individu cuba menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

Kanak-kanak itu hanya dapat diselamatkan selepas beberapa individu memecahkan cermin pintu mesin basuh selepas usaha mengeluarkannya gagal.

Berita berkaitan

Gurau tak bertempat [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 6:25 PM