DOKTOR membuat pemeriksaan kesihatan pada kanak-kanak itu. Gambar kanan, darah seperti peluh yang keluar dari muka. FOTO Vietgiatri.vn
DOKTOR membuat pemeriksaan kesihatan pada kanak-kanak itu. Gambar kanan, darah seperti peluh yang keluar dari muka. FOTO Vietgiatri.vn
Agensi

Hanoi: Doktor di sebuah hospital di Vietnam bingung dengan keadaan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang mengalami penyakit ganjil menyebabkan dia berpeluh darah.

Kanak-kanak itu yang dikenali sebagai N, dilaporkan mula berpeluh darah kira-kira empat bulan lalu dan ibu bapanya mendakwa keadaan itu mula berlaku apabila anak mereka terlalu tertekan dengan peperiksaan.

Ibu bapa kanak-kanak itu pada mulanya tidak membawa anak mereka berjumpa doktor tetapi keadaannya bertambah serius apabila dia berpeluh darah tiga atau empat kali sehari serta mengalami sakit kepala yang teruk.

Selepas keadaannya semakin teruk, kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Transfusi Darah Hematologi dan Dermatologi di Ho Chi Minh di mana doktor menyangka dia mengalami jangkitan pada kulit dan memberinya ubat.

Apabila rawatan itu tidak berjaya, kanak-kanak itu dirujuk ke Hospital Nasional Leprosi Dermatologi Quy Hoa di Quy Nhon di mana dia disahkan mengalami satu penyakit ganjil dikenali sebagai hematidrosis.

Hematidrosis adalah keadaan yang sangat jarang ditemui sehingga ada yang tidak percaya penyakit itu wujud.

Kes hematidrosis sudah dilaporkan sejak ratusan tahun tetapi tidak banyak diketahui mengenai penyakit itu dan ia dianggap satu keadaan perubatan.

Apa yang diketahui setakat ini, hematidrosis biasanya berpunca daripada tekanan perasaan melampau dan ketika pesakit berada di situasi mengancam nyawa.

Dalam sesetengah situasi seperti itu, kapilari iaitu saluran darah paling kecil dalam badan boleh pecah menyebabkan keluar melalui saluran peluh.

Dalam kes ini, doktor melakukan ujian terhadap semua organ utama kanak-kanak itu tetapi semuanya normal.

Buat masa ini doktor cuba mengurangkan tahap tekanan yang dialami pesakit berkenaan dengan harapan ia menghentikan dia berpeluh darah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 9:43 AM