Nazdy Harun

Kuala Berang: “Walaupun segelintir rakan pernah mengatakan usaha saya mengumpul artikel berkaitan Tun Dr Mahathir Mohamad perbuatan sia-sia namun kata-kata itu tidak sedikitpun melunturkan semangat saya.

“Malah sejak mengumpul berita berkaitan Tun sejak 37 tahun lalu, saya kini mempunyai lebih 20,000 artikel yang disimpan dengan rapi,” kata Ahmad Azmi Abu Bakar, 53, dari Taman Ajil Perdana di sini, ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Dia yang juga bekas kakitangan loji percetakan NSTP Ajil berkata, mulanya dia menyimpan berita berkaitan Dr Mahathir hanya sekadar suka-suka kerana amat meminati pemimpin nombor satu negara itu.

Katanya, selepas keratan akhbar mencecah lebih 200 keping, minatnya untuk meneruskan usaha menyimpan bahan berita berkaitan Dr Mahathir semakin mendalam dan menjadikan setiap berita di dada akhbar mengenai pemimpin berkenaan sebagai koleksinya.

AHMAD Azmi menunjukkan  koleksi gambar yang dipaparkan akhbar berkaitan Tun M. FOTO Nazdy Harun
AHMAD Azmi menunjukkan koleksi gambar yang dipaparkan akhbar berkaitan Tun M. FOTO Nazdy Harun

Azmi berkata, pada mulanya dia terpaksa merujuk Arkib Negara bagi memperoleh cara betul menyimpan semua keratan akhbar berkenaan dan menerima pandangan dan nasihat yang diberikan pihak berkenaan.

“Saya juga menyimpannya di dalam kotak kayu yang ditempah khas bagi mengelak ia terdedah kepada udara.

“Saya mempunyai 10 kotak kayu khas yang ditempah untuk mengisi sebahagian artikel ini.

“Ada juga artikel yang disimpan dalam kotak besi dan saya mungkin membelanjakan RM15,000 untuk membuat 30 kotak kayu bagi menyimpan artikel berkenaan,” kata bapa kepada 11 anak berusia dua hingga 27 tahun itu.

AHMAD Azmi menunjukkan koleksi gambar yang dipaparkan akhbar berkaitan Tun M.FOTO Nazdy Harun
AHMAD Azmi menunjukkan koleksi gambar yang dipaparkan akhbar berkaitan Tun M.FOTO Nazdy Harun

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 9:55 AM