SEGOVIA jaring 13 gol untuk Selangor. FOTO Supian Ahmad
SEGOVIA jaring 13 gol untuk Selangor. FOTO Supian Ahmad
Syafiq Aznan

Kuala Lumpur: Senarai penjaring terbanyak dalam saingan Liga Super setakat ini sedikit mengejutkan apabila didominasi penyerang pasukan yang menduduki kelompok pertengahan liga.

Mendahului senarai adalah penggempur berbisa Selangor, Rufino Segovia yang meledak 13 gol untuk membantu pasukan Red Giants menghuni tangga kelapan liga selepas mengharungi 14 perlawanan.

Mengikuti rapat adalah Tchetche Kipre dan Guillherme de Paula yang menyumbat 10 gol dengan jaringan Kipre membantu Terengganu berada di kedudukan kelima, sementara De Paula membantu Kuala Lumpur mengatasi Selangor untuk berada di kedudukan ketujuh liga.

Penjaring ketiga terbanyak pula dari Melaka United yang menghuni tangga ke-10 liga, iaitu penyerang import dari Belarus, Yahor Zubovich yang setakat ini cemerlang meledak lapan gol.

Mengulas perkembangan itu, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menyifatkan perkembangan itu sebagai satu perkara yang luar biasa memandangkan penjaring terbanyak selalunya dalam kalangan penyerang yang menghuni kelompok atasan liga.

“Kalau dilihat senarai, memang kita boleh lihat ia situasi yang agak berbeza berbanding musim lalu. Namun, ia membuktikan empat pasukan berkenaan begitu bijak apabila berjaya menandatangani penyerang yang benar-benar berbaloi dan mampu mencipta jumlah jaringan yang baik.

“Bagaimanapun, ada beberapa faktor lain seperti pasukan di kelompok atasan khususnya pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) kerap kali menukar penyerang import mereka pada musim ini dan corak permainan mereka yang semakin baik apabila tidak sekadar mengharapkan penyerang untuk mendapatkan gol.

“Itulah yang saya nampak menerusi situasi ini, tetapi kebergantungan hanya kepada seorang penyerang untuk menjaringkan gol tetap ada risikonya kerana jika pemain itu cedera, sudah tentu pasukan terbabit bergelut kerana mereka tidak memiliki pengganti yang berkaliber,” katanya ketika dihubungi semalam.

Berdasarkan rekod, saingan Liga Super musim lalu menyaksikan senarai tiga penjaring terbanyak dikuasai penyerang dari pasukan yang menamatkan saingan dalam kedudukan empat terbaik.

Penyerang import JDT, Mohammed Ghaddar merangkul anugerah penjaring terbanyak apabila meledak 23 gol sepanjang musim untuk membantu skuad Harimau Selatan meraih kejuaraan buat kali keempat berturut-turut.

Penjaring kedua terbanyak adalah penyerang kelahiran Brazil, Matheus Alves yang mencetak 18 gol untuk membantu Pahang yang menamatkan saingan di tangga kedua, sementara penjaring ketiga terbanyak, Ken Ilso dengan 15 gol yang membolehkan Kedah menamatkan saingan di tangga keempat.

Selain itu, FELDA United yang menamatkan saingan di tangga ketiga liga sebelum 'disingkirkan' ke saingan Liga Perdana susulan kegagalan mendapatkan lesen Liga Super turut memiliki pemain dalam senarai penjaring terbanyak menerusi Thiago Augusto yang menyumbat 14 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 8:34 AM