SHAMSILA bersama anaknya Mohamad Nabiq Haikal yang menghidap cerebral palsy. FOTO Syamsi Suhaimi
SHAMSILA bersama anaknya Mohamad Nabiq Haikal yang menghidap cerebral palsy. FOTO Syamsi Suhaimi
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Pasangan suami isteri itu pernah hampir putus asa apabila melihat jantung bayi mereka yang ketika itu berusia dua bulan terhenti seketika dan gagal membekalkan oksigen ke otak.

Ketika itu, mereka reda sekiranya Allah SWT menjemput anak istimewa berkenaan lebih awal sebelum sempat membesar bersama abang dan kakaknya.

Namun keajaiban Pencipta berlaku apabila Shamsila Muhammad, 47, dan suami Norazli Mohd Arshad, 50, masih diberi peluang untuk bersama anak mereka, Muhamad Nabiq Haikal yang kini sudah pun berusia sembilan tahun.

Shamsila berkata, dia tidak lupa dengan kejadian pada 2008 apabila jantung Muhamad Nabiq Haikal yang dipanggil Abiq tidak berdegup dan boleh diibaratkan sudah tidak bernyawa.

“Doktor di wad kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian cuba sedaya upaya menyelamatkan nyawanya dan Alhamdulillah dengan kuasa Allah, Abiq bernafas.

“Namun lebih setahun dia dirawat di hospital dan tidak dapat membesar seperti kanak-kanak normal seusianya.

“Sejak insiden itu, Abiq disahkan menghidap cerebral palsy selain menderita penyakit paru-paru kronik dan komplikasi jantung. Abiq sukar membesar dan beratnya hanya 5.25 kilogram (kg) selain tidak boleh berjalan.

“Mata kanannya tidak lagi berfungsi, manakala mata kiri pula hanya boleh melihat pada jarak dekat,” katanya ketika ditemui di HUSM di sini.

Menurut Shamsila, disebabkan masalah kesihatan anak bongsu daripada empat beradik itu, dia lebih banyak meluangkan masa di hospital berbanding di rumah.

“Hospital sudah jadi rumah pertama kami. Pada 30 Disember lalu, Abiq sekali lagi dimasukkan ke wad kerana muntah darah dan sehingga kini tidak dibenarkan keluar.

“Setiap kali Abiq di hospital, saya seorang saja yang menjaganya kerana suami perlu bekerja mencari nafkah untuk menampung kehidupan kami kerana ada tiga lagi anak kami yang memerlukan perhatian,” katanya.

Anak sulungnya, Nabila Harniesha, 20, menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Rekod, manakala Nini Alwanis, 19, di UiTM Pulau Pinang dalam jurusan Diploma Sains Sukan dan Naqib Hakim, 14, di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gunong.

Katanya, pendapatan Norazli yang hanya bekerja kampung tidak menentu dan adakalanya dia memperoleh RM200 seminggu.

Bagi menambah pendapatan isi rumah, dia membuat roti sandwic dan menjualnya di koperasi sekolah.

“Ikhtiar hidup kami perlu dan tidak boleh bergantung kepada wang bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (jkm) saja yang sebenarnya tidak cukup untuk membeli keperluan Abiq.

“Setiap bulan kami perlu membelanjakan hampir RM3,000 untuk lampin pakai buang, susu khas serta keperluan lain termasuk kos kereta sewa berulang-alik dari rumah di Kampung Panchor, Gunong, Bachok ke HUSM,” katanya.

Shamsila berkata, Abiq bergantung sepenuhnya kepada susu khas yang disalurkan melalui tiub terus ke perutnya dan susu itu berharga lebih RM300 untuk seminggu.

Di sebalik keadaan itu, dia mahupun suaminya tidak mengeluh kerana Abiq adalah anugerah Allah yang paling indah untuk mereka sekeluarga selain menguji kesabaran mereka membesarkan amanah itu dengan penuh kasih sayang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 7:27 AM