Siti Nor Hidayatidayu Razali


SEORANG wanita yang didakwa memuat naik video secara langsung dalam keadaan khayal dan berpakaian seksi dikecam netizen.

Video berdurasi 11 minit dua saat itu tular di Facebook (FB) dan ditonton 280,000 pengguna sejak ia dimuat naik 24 Disember lalu.

Dalam video itu, wanita berusia 20-an berdialek Kelantan itu mendakwa dirinya dalam keadaan tertekan dan apabila ditanya netizen dia mendakwa mengambil ‘lima’.

Sementara itu, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan Rahayu Ahmad berkata, bagi pemahamannya, ‘lima’ itu bermaksud dadah jenis Erimin 5.

Katanya, beliau sudah meneliti video berkenaan, namun setakat ini pihaknya tidak mendapat laporan berhubung video itu.

"Kami tidak tahu sama ada dia bersiaran langsung di FB dalam keadaan khayal dadah atau tidak.

"Tetapi kita membuat pemantauan kerana video yang dimuat naik itu boleh membawa kesan negatif kepada orang lain," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak mengambil bahan terlarang terutama dadah.

Katanya, individu yang mengambil dadah akan diambil tindakan tegas termasuk menahan dan menjalani ujian saringan air kencing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 7:55 PM
Wanita yang didakwa membuat siaran langsung di FB dalam keadaan khayal.
Wanita yang didakwa membuat siaran langsung di FB dalam keadaan khayal.