Mohamad Zulhairie Manzaidi


“SAYA seperti dapat semangat baru untuk terus tabah besarkan anak istimewa saya. Terima kasih atas doa dan sumbangan anda semua,” kata Mohd Zain Abdullah, 54, yang membesarkan tiga anak istimewa selepas kehilangan isterinya.

Sebelum ini, dia buntu dan hilang arah apabila isterinya, Nooraini Ismail, 48, pergi menghadap Ilahi, Isnin lalu dan meninggalkan tiga anak orang kurang upaya (OKU).

Mohd Zain yang sudah biasa bergandingan dengan arwah Nooraini membesarkan tiga anak istimewa mereka, Khairul Nisaa’, 23, Muhammad Amir, 16, dan Ain Husna, 15, terpaksa cekal demi kelangsungan hidup.

Mohd Zain mengakui, dirinya seperti memperoleh semangat baru untuk meneruskan hidup selepas ramai pihak yang mempamerkan keprihatinan dan sokongan.

“Sejak kisah disiarkan, rumah saya tidak putus menerima kunjungan orang yang bertanya khabar dan ada juga beri bantuan. Masing-masing beritahu membaca mengenai saya di Harian Metro.

"Terima kasih banyak-banyak. Saya sangat terharu dengan sokongan ini walaupun kita tidak mengenali, tetapi masih ada yang prihatin," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Keli 1, Tumpat, hari ini.

Mohd Zain tabah menjaga tiga anaknya yang menghidapi CP ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Keli 1, Tumpat. FOTO  Faris Zainuldin
Mohd Zain tabah menjaga tiga anaknya yang menghidapi CP ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Keli 1, Tumpat. FOTO Faris Zainuldin

Bapa sembilan anak itu berkata, sokongan rakyat Malaysia juga beri kekuatan kepadanya untuk menjadi insan sabar dan tabah memelihara anak yang menghidap Cerebal Palsy (CP).

"Walaupun saya mungkin terpaksa belajar semula apa penjagaan sebenar anak CP, saya akan tetap kuat demi mereka dan terima kasih rakyat Malaysia yang beri kekuatan kepada saya," katanya yang mempunyai empat lagi anak normal berusia 15 hingga 25 tahun dengan tiga daripadanya masih belajar.

Mohd Zain berkata, dua lagi anaknya yang turut menghidap penyakit serupa meninggal dunia pada 1991 dan 2013, manakala anak kedua, Ummi Syamirah, 25, berhenti kerja untuk membantunya.

Katanya, dia masih cuba menyesuaikan diri tanpa isteri di sisi dan Ummi Syamirah banyak membantu meringankan bebannya.

"Memang janggal kerana selama ini arwah ada bersama, tapi Ummi juga tidak kekok kerana sebelum ini banyak membantu arwah. Insya-Allah saya akan berikan yang terbaik untuk keluarga saya," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Mohd Zain boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional Mohd Zain 0310829000087596, susulan akaun Maybanknya yang sebelum ini dihadkan berikutan lebihan transaksi.

Berita berkaitan

Permudahkanlah bapa ini menjaga anaknya, Amin....

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 5:23 PM