ANGGOTA Unit Forensik IPK Selangor menjalankan siasatan di Seksyen 7, Shah Alam, hari ini. Wan Ahmad Najmuddin (kiri) dan Fadzil (gambar kecil). FOTO Iskandar Shah Mohamed
ANGGOTA Unit Forensik IPK Selangor menjalankan siasatan di Seksyen 7, Shah Alam, hari ini. Wan Ahmad Najmuddin (kiri) dan Fadzil (gambar kecil). FOTO Iskandar Shah Mohamed
Iskandar Shah Mohamed


DUA penjenayah berusia 30-an disyaki ahli kumpulan pecah rumah dikenali Geng Rantau mati ditembak polis di kawasan semak berdekatan taman perumahan di Seksyen 7, Shah Alam, awal pagi ini.

Difahamkan, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat awam mengenai cubaan memecah masuk rumah penduduk di kawasan itu pada 3.40 pagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, pemeriksaan membawa kepada penemuan tiga lelaki yang didapati cuba melarikan diri menuju ke lebuh raya berdekatan.

"Mereka bagaimanapun bertindak agresif dengan menggunakan parang hingga menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan tembakan.

“Dua daripada mereka mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri. Pihak polis turut menemui satu pisau celoret, parang dan peralatan pecah rumah," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

Menurutnya, pihaknya masih mengenal pasti identiti suspek sama ada warga asing atau sebaliknya termasuk latar belakang mereka.

"Bagaimanapun, ia lebih menjurus kepada warga asing dipercayai Geng Rantau yang terbabit dalam tujuh kes pecah rumah di sekitar Shah Alam termasuk Seskyen 6 dan Seksyen 8 tahun ini.

"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan suspek lain dan lokasi mereka bersembunyi," katanya

Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 457 kanun sama iaitu pecah rumah.

Sementara itu, penduduk Datuk Amril Samsudin, 50-an, berkata dia dikejutkan dengan bunyi tembakan sebelum mendapati kawasan berkenaan sudah dipenuhi anggota polis.

"Setakat ini, tiga kes pecah rumah berlaku di kawasan ini dan saya menzahirkan penghargaan kepada polis kerana berjaya melumpuhkan kegiatan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 10:43 AM