Zurina diiringi polis ketika dihadapkan atas tuduhan memperdaya pelanggan di Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Zurina diiringi polis ketika dihadapkan atas tuduhan memperdaya pelanggan di Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Ibrahim Isa


“YANG Arif, tolong kurangkan wang jaminan, sebelum ini saya baru membayar wang jaminan kes lain dan dalam proses menjual beberapa peralatan untuk membayar ganti rugi pelanggan,” rayu pemilik syarikat perancang perkahwinan, Zurin Jundi yang didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor, hari ini.

Tertuduh, Zurina Ahmad Jundin, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan memperdaya pelanggan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Terdahulu, Mohd Azlan Shah menetapkan RM6,000 sebagai wang jaminan selepas Zurina mengaku faham pertuduhan dikenakan ke atasnya.

Selepas mendengar rayuan Zurina, Mohd Azlan Shah menetapkan RM5,000 sebagai wang jaminan dengan seorang penjamin serta 10 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memperdayakan Erhana Nur Asyatiqah Saidon, 25, supaya menyerahkan wang tunai RM5,000 sebagai bayaran kos upah pakej perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung Mac lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Zurin Jundi Wedding Planner, Taman Mutiara Rini, Johor Bahru.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Mohd Nasir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada pagi sama, satu kes membabitkan wanita itu disebut semula di mahkamah sama berhubung tuduhan memperdaya seorang pelanggan membabitkan RM8,500, dalam kejadian Mei lalu.

Tertuduh didakwa pada 20 November lalu, memperdayakan Nor Ika Nadzirah Sirajudin supaya menyerahkan wang tunai RM8,500 sebagai bayaran deposit bagi kos upah pakej perkahwinannya yang berlangsung pada 16 September lalu.

Pada 19 Oktober lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Klang, selepas didakwa menipu pelanggannya.

Pada 30 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan lebih 100 pengantin dan bakal pengantin mendakwa terpedaya dengan tawaran syarikat dengan anggaran kerugian keseluruhan mencecah RM500,000.

Berpuluh mangsa yang didakwa ditipu menyerbu syarikat Zurin Jundi sehingga tular di media sosial berikutan kegagalan syarikat perancang perkahwinan itu menyediakan sajian makanan, pelamin dan gambar perkahwinan.

Kebanyakan bakal pengantin yang menjadi mangsa mendesak syarikat perancang perkahwinan itu memulangkan semula duit yang dibayar antara RM2,000 dan RM10,000.

Pada 5 September lalu, peguam Zurin Jundi tampil memohon maaf dan akan membuat pembayaran secara berkala kepada pelanggan yang mendapat perkhidmatan kurang memuaskan.

Berita berkaitan

Sekali lagi didakwa menipu

Didakwa perdaya pelanggan pakej kahwin

Ingin bayar secara berkala

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 1:38 PM