SHAHEIZY Sam. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
SHAHEIZY Sam. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ramlah Zainal


Selepas tampil kurus dalam filem genre romantik Pinjamkan Hatiku, pelakon hebat Shaheizy Sam melakukan perubahan bentuk badannya kepada sasa dan berotot pula ketika ini.

Semuanya demi menjiwai watak sebagai Inspektor Khai dalam filem aksi Polis Evo 2 yang sudah pun memulakan penggambarannya sejak sebulan lalu.

“Saya sangat mementingkan kesempurnaan dan menitikberatkan aspek penampilan ketika menjayakan sesuatu filem itu.

“Selepas berjaya menurunkan berat badan sebanyak lapan kilogram untuk menjiwai watak pesakit kanser iaitu Naufal dalam filem Pinjamkan Hatiku, saya giat ke gimnasium pula menukar bentuk badan kepada sasa untuk Polis Evo 2 pula.

“Saya sanggup melakukan semua itu untuk membuktikan pelakon tempatan juga boleh melakukan perubahan bentuk badan mengikut watak seperti di Hollywood,” katanya.

Mengulas mengenai Polis Evo 2 pula, kata Sam, ia akan menjadi satu lagi kebanggaan dalam industri perfileman tanah air.

“Saya percaya filem ini lebih hebat dengan melihat cara pembikinannya saja.

“Selain set dan bajetnya sangat besar, tenaga kerja terbabit juga daripada mereka yang berkelulusan dari sekolah filem di luar negara.

“Filem ini juga menepati ‘standard’ untuk ke peringkat antarabangsa dan sekurang-kurangnya tayangan ke negara Asia,” katanya.

Selain Sam, pelakon dan pelawak Zizan Razak juga antara bintang utama filem sekuel itu yang bakal ditayangkan tahun depan.

Bagaimanapun, Sam mengakui watak Naufal dalam filem Pinjamkan Hatiku paling mencabar kemampuannya setakat ini.

“Saya juga mengikuti rutin diet kurus yang pernah diamalkan pelakon Hollywood, Christian Bale untuk menjiwai watak pesakit kanser dalam filem arahan Osman Ali itu.

“Walaupun hanya dapat menurunkan berat badan sebanyak lapan kilogram tetapi ia pengalaman paling memeritkan setakat ini.

“Saya difahamkan rutin diet itu tidak sihat dan tak mendapat kebenaran doktor serta risikonya juga tinggi kerana boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan kematian,” katanya.

Ditanya penerimaan keluarga pula, Sam berkata, mereka cukup memahami cintanya pada bidang lakonan.

“Isteri, kakak dan ibu berasa sedih dan simpati melihat keadaan tubuh saya yang kurus serta tidak bertenaga ketika amalkan rutin diet itu.

“Ibu yang paling bimbang melihat diet yang tidak sihat itu tetapi pada masa sama dia memahami tanggungjawab besar saya sebagai pelakon,” katanya.

Lepas rindu pada anak di lokasi

Selepas bergelar bapa, Sam mengakui keutamaan hidupnya berubah dalam sekelip mata.

Suami kepada pelakon Syatilla Melvin ini berkata, perspektif hidupnya berbeza sejak kehadiran anak sulung, Syeriv yang kini berusia enam bulan.

“Saya memang fokus ketika bekerja dan tidak mahu kehadiran isteri dan anak akan menjejaskan tumpuan di lokasi.

“Namun, saya akan meminta isteri bawa anak ke lokasi jika rindu kepadanya,” katanya.

Sam berkata, buat masa ini, Syatilla juga tidak berlakon kerana ingin memberi fokus pada anak mereka.

“Syatilla sempat berlakon dua hari dengan pengarah Osman Ali tetapi dia beritahu saya tidak mahu berlakon buat masa ini kerana tidak boleh berpisah dengan anak kami,” katanya.

Ditanya mengenai kritikan netizen pula, kata Sam, dia tidak terkesan dengan komen yang negatif di laman sosial.

“Saya hanya baca komen yang positif saja. Saya juga tidak akan layan komen yang nak menjatuhkan atau buat jadi murung.

“Sebagai pelakon, saya tahu apa yang dilakukan dan yang diimpikan dalam industri seni,” katanya.

Shaheizy dan Syatilla berkahwin pada 8 Februari 2016 dan dikurniakan anak lelaki, Syeriv pada 9 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 4:50 AM