ROLSTON memukul bola golf manakala rakannya, Rutland menjadi kedi dan membawa peralatan mereka. FOTO Agensi
ROLSTON memukul bola golf manakala rakannya, Rutland menjadi kedi dan membawa peralatan mereka. FOTO Agensi
Agensi

Ulaanbaatar, Mongolia: Seorang lelaki baru-baru ini melengkapkan lubang golf paling panjang dalam sejarah dalam pengembaraan yang menyaksikan dia membuat 20,094 pukulan sejauh hampir 2,000 kilometer merentasi gurun dan gunung di Mongolia.

Adam Rolston, 28, yang berasal dari Ireland Utara mendapat idea melakukan cabaran itu selepas rakannya mengembara menaiki basikal sejauh 26,000 kilometer merentasi Afrika.

Dia melakukan tee-off di bahagian paling barat Mongolia pada 29 Jun lalu dan terus memukul bola hingga ke lubang 18 di satu-satunya padang golf di negara itu di Ulaanbataar.

Ditemani rakannya Ron Rutland, mereka mengambil masa selama 82 hari, mengembara sejauh 2,000 kilometer, membuat lebih 20,000 pukulan dan 400 bola golf untuk menamatkan cabaran itu.

Mereka memilih Mongolia kerana kawasan penduduknya tidak padat dan tidak banyak binaan manusia yang menjadi halangan.

ROLSTON (kiri) dan Rutland.
ROLSTON (kiri) dan Rutland.

“Berpuluh-puluh orang memberitahu bahawa kami adalah gila, ia perkara mustahil dilakukan dan kamu tiada benda lain mahu lakukan?” kata Rolston.

Menurutnya, mereka merancang laluan spesifik untuk pengembaraan itu tetapi perubahan cuaca dan keadaan muka bumi ternyata cabaran sebenar dihadapi mereka.

Mereka juga terpaksa menempuh cuaca sejuk selama beberapa hari dan memukul bola golf di kawasan pergunungan serta berbatu.

“Pada minggu pertama saya terfikir bolehkah kami menamatkan cabaran ini?

“Namun, saya dan Rutland terus bertekad untuk menamatkan permainan ini dan mencipta sejarah,” jelasnya.

Kejayaan Rutland juga diiktiraf penganjur kejohanan golf profesional, The European Tour dan bakal direkodkan dalam Buku Rekod Dunia Guinness.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 3:43 AM