Junaidi Ladjana


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Belud tangkap ular sawa sedang menelan monyet peliharaan di Kampung Pirasan, Kota Belud, hari ini.

Sawa itu dikatakan membaham monyet peliharaan berkenaan dalam kejadian kira-kira 8 pagi.

Pemilik haiwan berkenaan terkejut apabila melihat ular di dalam kandang sedang membaham monyet peliharaannya.

Berikutan itu, dia terus menghubungi APM Kota Belud untuk bantuan menangkap ular berkenaan.

Pegawai APM Kota Belud, Paulina Francis, berkata mereka menerima panggilan pada 8.11 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, anggotan mendapati sawa 4.1 meter dalam kandang monyet sedang membaham haiwan peliharaan pengadu.

"Anggota APM mengambil kira-kira empat minit sebelum menangkap ular sawa berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Paulina berkata, ular seberat 32 kilogram kemudian dibawa ke pejabat APM Kota Belud untuk tindakan lanjut.

"Ketika di pejabat APM Kota Belud, anggota kemudian mengangkat untuk menyukat panjang ular itu.

“Tiba-tiba haiwan itu secara perlahan-lahan memuntahkan monyet yang ditelannya. Anggota bantu sawa itu kerana takut ular itu pula mati tercekik,” katanya.

Paulina menjelaskan, kejadian seumpama ini adalah pertama kali dilihat anggota APM Kota Belud.

Antara skrip SOT klip video yang dirakamkan oleh Penyelaras APM Kota Belud, Kpl (PA) Khairul Gumpitai

“Ok, sekarang kita tengok, seekor ular sawa, berat 32 kilo, sedang memuntahkan monyet yang telah dimakannya.

“Dan ketika ini, petugas-petugas kita yang diketuai oleh Lans Koperal Azahari (L/kpl Azahari Maska), Asdeh (Pbt Asdeh Jam) dan Mahilin (Pbt Mahilin Salim), membantu ular sawa untuk memuntahkan monyet yang telah ditelan oleh ular tersebut.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 12:15 PM
TURUTAN gambar yang ular sawa yang kenyang selepas telan monyet, ditangkap dan memuntahkan semula monyet itu. IHSAN APM Kota Belud
TURUTAN gambar yang ular sawa yang kenyang selepas telan monyet, ditangkap dan memuntahkan semula monyet itu. IHSAN APM Kota Belud