Ahmad Hasbi


Nilai: Tiga premis di kawasan rumah kedai dekat Taman Semarak, di sini, dikesan diubahsuai secara haram untuk dijadikan pusat hiburan bagi warga asing dan berkemungkinan turut berlaku kegiatan pelacuran.

Pintu masuk setiap premis dilengkapi dengan kata laluan dan hanya pelanggan yang dikenal pasti sahaja dibenarkan masuk selain premis dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai persediaan jika diserbu pihak berkuasa.

Malah, pemilik perniagaan juga didapati mengupah 'jaga air' warga Myanmar yang bertindak sebagai pemberi maklumat jika terdapat aktiviti mencurigakan atau kehadiran pihak berkuasa.

Malah, lagu yang dihidangkan juga terdiri daripada lagu daripada bahasa ibunda mereka dengan bayaran RM30 bagi tempoh sejam selain pelanggan juga turut dihidangkan dengan minuman keras.

Bagaimanapun, keasyikan 92 warga Myanmar yang sedang berkaraoke dan berhibur terbantut apabila premis itu diserbu polis dari Kontinjen Negeri Sembilan dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, serbuan kira-kira jam 10.30 malam tadi dijalankan hasil aduan orang awam mengenai kewujudan pusat hiburan haram warga asing di lokasi berkenaan.

"Bertindak atas maklumat, seramai 72 pegawai dan anggota polis bersama JIM berjaya memecah masuk tiga premis yang dijadikan pusat hiburan dan karaoke warga Myanmar di Taman Semarak.

"Hasil serbuan, kami menahan 92 warga Myanmar terdiri daripada 65 lelaki dan bakinya wanita.

"Hasil dokumentasi, seramai 39 daripada mereka didapati melanggar pelbagai kesalahan imigresen dan diserahkan kepada JIM, manakala selebihnya dibawa Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, premis berkenaan sudah beroperasi sejak lapan bulan lalu dan pernah diserbu sebelum ini, namun masih degil menjalankan perniagaan hiburan tanpa lesen sah selain dikesan beroperasi sehingga ke jam 6 pagi.

"Operasi ini hasil aduan orang awam yang memaklumkan berlakunya kegiatan pelacuran membabitkan warga asing, namun hasil pemeriksaan tidak menemui bukti yang menunjukkan kegiatan itu.

"Ketiga-tiga premis ini menjadi tumpuan warga Myanmar kerana terdapat penempatan warga asing di sekitar Taman Semarak.

"Hasil pemeriksaan juga mendapati mereka menyediakan minuman keras tanpa cukai," katanya.

Katanya, warga asing yang diserahkan kepada JIM didapati melanggar peraturan mengikut Seksyen 39(b) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Mereka juga ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1988 kerana beroperasi tanpa kebenaran selain siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

ANTARA warga Myanmar yang ditahan di tiga pusat hiburan di Taman Semarak, Nilai, malam tadi. FOTO Ahmad Hasbi
ANTARA warga Myanmar yang ditahan di tiga pusat hiburan di Taman Semarak, Nilai, malam tadi. FOTO Ahmad Hasbi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 9:25 AM