NATALIE membuka sedikit kelopak matanya yang tertutup secara sendiri untuk tempoh beberapa hari hingga menyebabkan dia buta. FOTO Agensi
NATALIE membuka sedikit kelopak matanya yang tertutup secara sendiri untuk tempoh beberapa hari hingga menyebabkan dia buta. FOTO Agensi
Agensi

Melbourne: Sejak 13 tahun lalu, Natalie Adler menderita sejenis penyakit ganjil yang menyebabkan kelopak matanya tertutup hampir tiga hari pada satu-satu masa.

Selepas menjalani berpuluh-puluh ujian, pemeriksaan dan rawatan, doktor masih belum mengetahui penyakit atau punca mata Natalie, 30, tertutup dengan sendirinya.

Natalie berkata, kehidupannya berubah ketika dia berusia 17 tahun apabila bangun pagi Ahad dengan mata yang bengkak.

“Sejak itu kelopak mata mula tertutup dengan sendiri untuk tempoh masa tertentu.

“Dalam seminggu, mata saya tertutup selama tiga hari menyebabkan saya tidak dapat melihat dan kembali pulih seperti biasa selepas itu,” katanya.

Menurutnya, sejak itu dia berjumpa beberapa doktor dan pakar mata serta membuat pelbagai ujian dan pemeriksaan tetapi tiada siapa yang dapat mengenal pasti penyakitnya itu.

Sepanjang tempoh matanya tertutup, Natalie langsung tidak boleh melihat kecuali melalui hujung mata kirinya yang terbuka sedikit.

Selepas menjalani beberapa pembedahan, kini Natalie diisytiharkan secara sah sebagai seorang yang buta.

Natalie menjalani pembedahan untuk membuang hampir 99 peratus otot di kelopak matanya bagi mengelak ia tertutup.

Dia juga perlu selalu mengambil suntikan Botox bagi memastikan matanya sekurang-kurangnya separuh terbuka tetapi ia tetap tertutup sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Pakar menganggap kes Natalie sebagai yang tunggal seumpamanya di dunia menyebabkan mereka sukar mencari penjelasan apatah lagi penawarnya.

Natalie kini menyertai program kajian genetik di Hospital Diraja Melbourne dengan harapan pakar dapat menyelesaikan misteri penyakitnya itu satu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 4:38 AM