Sekumpulan kanak-kanak dan remaja yang dihimpunkan untuk lumba haram basikal lajak dan ‘tunjuk hebat’ di jambatan baru berhampiran Teluk Pulai, Klang, semalam sebelum sebahagian daripada mereka ditahan polis. FOTO ihsan PDRM
Sekumpulan kanak-kanak dan remaja yang dihimpunkan untuk lumba haram basikal lajak dan ‘tunjuk hebat’ di jambatan baru berhampiran Teluk Pulai, Klang, semalam sebelum sebahagian daripada mereka ditahan polis. FOTO ihsan PDRM
Fuad Hadinata Yaacob


BAYAR kepada penganjur RM8 jika nak berlumba, hadiah pemenang RM4 dan kesudahannya, kena ‘angkut’ ke balai.

Itu yang berlaku kepada sekumpulan kanak-kanak dan remaja yang dihimpunkan untuk lumba haram basikal lajak dan ‘tunjuk hebat’ di jambatan baru berhampiran Teluk Pulai, Klang, semalam.

Bermula dengan mesej ‘Game lajak datang lagi’ yang disebarkan melalui aplikasi Wechat dan WhatApps oleh ‘penganjur hantu’ lebih 40 basikal lajak termasuk yang diubahsuai secara ekstrem dikumpulkan.

Berdasarkan maklumat dalam mesej itu, penganjur mengadakan pertandingan dengan bayaran untuk sebuah basikal adalah RM6 manakala untuk penganjur RM2.

Terdapat 11 senarai nama menyertai pertandingan itu dengan menggunakan pelbagai gelaran seperti basikal bisu, basikal mariam, fixie adik dan palang bawah.

Mereka berkumpul mulai jam 8.30 malam di Tanjung Syawal sebelum bergerak ke Teluk Pulai.

Pelbagai aksi seperti 'superman' dan 'willie' digayakan penunggang basikal itu.

Malah, dalam rakaman video menunjukkan ada antara kanak-kanak itu menunggang basikal dalam keadaan bahaya termasuk melakukan aksi

'superman'.

Begitupun, tindakan 'berani' mereka tidak lama apabila sepasukan polis yang berpakaian preman melakukan operasi terhadap mereka.

Dalam operasi jam 9 malam diketuai Pegawai Penguat kuasa Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Asisten Superintendan Mohd Harman Mohd Haniff itu, 14 kanak-kanak dan remaja berusia 11 hingga 15 tahun ditahan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya bekerjasama dengan anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara dalam usaha membanteras basikal lajak itu selepas mendapat maklumat awam.

Beliau berkata, ketika operasi ada antara mereka berpecah namun pihaknya berjaya menahan kumpulan itu di kawasan Teluk Pulai.

“Seramai 14 kanak-kanak dan remaja ini ditahan dan dibawa ke Balai Trafik Klang Selatan.

  "Kami turut memanggil ibu bapa mereka sebelum semuanya dibebaskan," katanya.

Sementara itu, saman dikeluarkan ke atas mereka mengikut LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana kesalahan mengubahsuai basikal.

Dalam pada itu, jurucakap polis berkata, perlumbaan berkenaan sering diadakan di kawasan itu dan operasi terbabit pertama kali diadakan.

Menurutnya, ketika di balai polis pelbagai alasan diberikan kanak-kanak dan remaja itu antaranya menghantar buku ke rumah rakan, surau malah ada

memberi alasan mengunjungi rumah terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 11:02 PM