TARIK menunjukkan keadaan tangannya.  FOTO Agensi
TARIK menunjukkan keadaan tangannya. FOTO Agensi
Agensi

Uttar Pradesh: Penyakit misteri yang dihidapi seorang remaja berusia 12 tahun menyebabkan dia digelar ‘hantu’ oleh penduduk kampungnya.

Tarik, 12, dari Uttar Pradesh mempunyai sepasang tangan yang besar sejak kecil dan tangannya kini sebesar 31 sentimeter.

Walaupun belum didiagnos, beberapa doktor berkata, dia mungkin menghidap penyakit untut.

Penduduk kampung menggelarnya ‘hantu’ kerana percaya tangannya yang besar itu berpunca daripada sumpahan.

Selain dipulaukan penduduk kampung, Tarik yang bekerja di sebuah kedai minum juga tidak dibenarkan bersekolah kerana pihak sekolah bimbang keadaan tangannya akan menakutkan murid lain.

Sejak kematian bapanya, keluarganya tidak mampu untuk membawanya menjalani rawatan.

Namun Tarik yakin penyakitnya boleh diubati satu hari kelak.

“Saya mahu atasi masalah ini. Saya mahu hidup seperti kanak-kanak lain, pergi ke sekolah setiap hari dan bermain seperti mereka,” katanya.

Menurutnya, dia mulanya pernah mempunyai beberapa kawan tetapi sekarang, tidak ada yang sudi bersahabat dengannya.

“Mereka takut melihat tangan saya. Saya mahu ke sekolah tetapi pihak sekolah enggan menerima saya. Penduduk kampung berkata, tangan saya besar kerana disumpah. Mereka tidak tahu ia masalah perubatan dan boleh dirawat. Cuma keluarga saya tidak mempunyai wang untuk rawatan itu,” katanya.

Hargyan, abangnya yang menjaganya berkata: “Dia sukar melakukan kegiatan seharian seperti mandi, memakai baju dan makan. Tangannya sungguh besar. Dia terperangkap dalam hidupnya. Untuk menyalin baju juga dia tidak boleh.”

Menurut Hargyan, ketika bapa mereka masih hidup dia sering membawa Tarik berjumpa doktor tempatan.

“Ramai doktor yang kami temui. Tetapi semuanya doktor tempatan yang tidak mempunyai kelengkapan canggih,” kata Hargyan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 7:35 AM