GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

NEW DELHI: Harimau bintang menyerang dan memakan hampir seluruh tubuh seorang budak lelaki berusia lima tahun di Prempuri, Uttar Pradesh, ketika mangsa sedang bermain dengan rakannya di luar rumah, awal minggu ini.

Menurut laporan Daily Mail yang memetik media tempatan, sebahagian tubuh dan satu tangan kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Chetan, ditemui dalam ladang tebu, kira-kira 300 meter rumahnya manakala rakan sepermainannya Nishu, 4, dikejarkan ke hospital akibat cedera parah di leher.

Menurut laporan, bahagian belakang, tangan dan muka mangsa hilang akibat dibaham, selain sebelah tangannya hilang.

Penduduk kampung mengambil masa dua hari sebelum menemui mayat Chetan yang diserang pada Isnin lalu.

Ia adalah serangan kedua sehingga menimbulkan panik di negeri itu dalam masa dua hari.

Dalam satu lagi kejadian Ahad lalu, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun bernama Rohan dilarikan harimau bintang di perkampungan Akbarpur Chauganva, juga di Uttar Pradesh, namun berjaya diselamatkan anggota keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 10:54 AM