SOLANKE (kanan) pamer peningkatan positif. Gambar kecil, Klopp. FOTO AFP
SOLANKE (kanan) pamer peningkatan positif. Gambar kecil, Klopp. FOTO AFP
AFP

Dublin: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp akan bersikap terbuka terhadap pembabitan Reds dalam pasaran perpindahan pemain selepas menamatkan aksi pramusim tanpa kekalahan dengan kemenangan 3-1 ke atas Athletic Bilbao.

Pengurus Reds itu menyaksikan Dominic Solanke, 19, yang baru dibeli menjaringkan gol sekali lagi, bersama-sama Ben Woodburn, 17, sementara Alberto Moreno cemerlang di bahagian pertahanan.

Klopp membayar £34 juta (RM189.7 juta) kepada Roma untuk Mohamed Salah musim panas ini dan £8 juta (RM44.6 juta) untuk pertahanan Scotland, Andy Robertson dari Hull namun beliau teruja dengan impak yang dicetuskan pemain yang dibeli pada harga murah dan percuma.

“Kami sentiasa katakan hingga 31 Ogos ini, kami akan memerhatikan pasaran perpindahan kami tapi bukan hanya kami yang memutuskannya. Ia juga membabitkan kelab lain,” kata Klopp.

“Saya terfikir mengenainya hari ini dan pramusim menghadirkan pemain baru, jika anda mahu. Alberto Moreno sudah 100 peratus kembali dan ia sesuatu yang bagus selepas musim yang sukar.

“Andrew Robertson menunjukkan semua skil yang dimiliki, sudah tentu dia masih perlu menyesuaikan diri dengan cara permainan kami tapi anda boleh lihat ancaman yang mampu diberikannya.

“Ini bermakna James Milner bebas bergerak di bahagian tengah, jadi tanpa membabitkan diri dalam pasaran perpindahan, kami mendapatkan pemain tengah baru dan ia sesuatu yang bagus.

“Dominic Solanke, saya fikir dia sudah membuktikan dirinya bersedia untuk aksi bola sepak dewasa. Ryan Kent, saya mengenalinya sejak setahun setengah dan tahun lalu dia menunjukkan peningkatan dan pada pramusim ini, dia berbeza berbanding pramusim lalu dan dia benar-benar membuktikan kemampuan.

“Jadi tanpa perlu membayar begitu banyak wang atau bayaran perpindahan tertinggi, kami mempunyai pemain tambahan. Ia sesuatu yang bagus.”

Roberto Firmino menjaringkan satu lagi gol buat Liverpool di Dublin, di depan lebih 50,000 peminat Liverpool tetapi tidak kelihatan kelibat seorang lagi pemain Brazil Philipe Coutinho, yang dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 7:36 AM