MAWAR disirami cinta.
MAWAR disirami cinta.
Najiy Jefri


Cinta adalah suatu perasaan anugerah Tuhan dan ia akan membahagiakan manusia jika disirami kasih sayang.

Malah dalam dunia percintaan, kepercayaan adalah ‘jus’ paling utama kerana tanpanya, sesuatu hubungan boleh goyah.

Itulah prinsip yang dipegang pelakon Mawar Rashid dan jejaka pilihan hatinya, Raden Ahmad Faizal Yaakob atau lebih dikenali sebagai Raf Yaakob apabila mengikat tali pertunangan, Julai lalu.

Selain ruang hati yang sedang berbunga, kepercayaan terhadap jejaka yang dikenali sejak awal tahun ini juga semakin kukuh terpateri.

Kata Mawar, meskipun terdapat ramai wanita cuba mendekati Raf yang terang-terangan sudah mengetahui statusnya sebagai tunangan orang, dia tidak sedikit pun tergugat atau berasa cemburu.

“Saya percaya kunci kebahagiaan dalam perhubungan adalah kepercayaan. Saya kenal siapa Raf. Datanglah banyak mana perempuan, dia tidak akan sesekali melayan. Bahkan dia akan memberitahu saya setiap wanita yang cuba mengenalinya.

“Jadi buat apa saya perlu risau atau curiga kerana sudah berjanji untuk tidak ada rahsia antara kami,” katanya dengan yakin.

Kata Mawar, selain kepercayaan yang kuat terhadap Raf, kejujuran juga adalah hal utama yang dilihatnya ketika mula mengenali adik kepada penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob itu.

“Melihat kejujuran Raf ketika mula berkawan membuatkan saya tidak menunggu lama untuk menjadi sebahagian dalam hidupnya. Selama kami menjalin hubungan cinta, dia akan selalu memberitahu saya ke mana dia mahu pergi.

“Malah saya juga tidak ada masa untuk fikir buruk mengenai dirinya kerana tahu dia bukan seorang yang mudah ‘melayan’.

“Bagaimanapun, sebagai wanita saya akan sentiasa berusaha menjaga hubungan ini dengan baik. Kami sudah berjanji untuk hidup bersama dan memastikan hubungan yang dibina ini mampu berkekalan,” katanya.

Nikah Tahun ini

Melanjutkan perbualan mengenai tarikh mereka bakal disatukan sebagai mempelai, Mawar memberitahu dia dan Raf bercadang mendirikan rumah tangga sebelum akhir tahun ini.

“Meskipun segala persiapan perkahwinan baru 30 peratus siap, kami belum menetapkan tarikh pernikahan kerana masing-masing sibuk dengan jadual kerja yang padat.

“Saya dan Raf masih dalam perbincangan mengenai tarikh rasmi pernikahan kami,” katanya.

Mungkin ada yang berpandangan keputusan untuk bernikah terlalu awal buat Mawar memandangkan dia baru saja bergelar pelakon dan nama belum cukup kukuh dalam industri seni tempatan.

Berkahwin bermakna Mawar tidak lagi dapat menumpukan perhatian kepada kerjaya lakonan kerana selepas bernikah dia tentunya memberikan tumpuan kepada suami dan rumah tangga.

Menjelaskan mengenai perkara itu kata Mawar, perkahwinan bukan hala­ngan untuk dia mengejar cita-citanya apatah lagi, pelakon jelita itu benar-benar yakin Allah SWT akan murahkan rezeki bagi pasangan yang bernikah.

“Saya tidak akan berhenti berlakon meskipun sudah berkahwin nanti. Lagipun, kami mempunyai minat yang sama iaitu berlakon. Saya juga menyokong penuh apabila Raf mengatakan mahu kembali aktfi berlakon.

“Soal rezeki selepas berkahwin saya serahkan kepada Yang Maha Esa. Saya percaya Allah SWT merencanakan kehidupan seseorang itu dengan sebaik-baiknya.

“Namun apa yang boleh dikatakan, saya akan terus aktif memperbaiki diri dalam dunia lakonan dan menjadi seorang pelakon yang dikenali dengan bakat yang bermutu,” kata Mawar.

Raf pula akui dia sangat sukakan Mawar kerana melihat nilai santun dan lemah lembut dalam diri calon isterinya itu.

“Mawar juga pandai berdikari pada usia muda,” katanya ringkas.

Menjadi duda sejak setahun lalu, ayah kepada Raden Ahmad Rayyan, 6, dan Raden Seri Raysaa Chanela, 2, percaya, Mawar akan menjadi ibu yang baik kepada dua anaknya kelak.

“Mawar sangat sukakan kanak-kanak. Saya sendiri lihat bagaimana dia melayan anak buahnya dengan penuh manja dan kasih sayang.

“Malah sekarang juga dia selalu bersama anak saya. Oleh itu, saya yakin dia pandai menyesuaikan diri apabila kami berkahwin nanti. Doakan semoga impian kami untuk mendirikan rumah tangga tahun ini tercapai,” ujarnya.

Sebelum ini Raf pernah membabitkan diri dalam dunia lakonan namun sekadar minat sampingan.

Ketika ini, Raf sibuk menjalani penggambaran drama Awak Sayang Saya Tak?. Dia turut mengusahakan perniagaan sendiri dalam bidang penjualan kereta, bengkel kenderaan, restoran dan hartanah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 12:43 AM