ANTARA kawasan terjejas susulan banjir di Dengkil. FOTO Ihsan Pembaca
ANTARA kawasan terjejas susulan banjir di Dengkil. FOTO Ihsan Pembaca
Samadi Ahmad


Sepang: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dengkil susulan banjir kilat melanda di daerah ini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, PPS berkenaan dibuka malam tadi di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Sekolah Agama Rendah Agama (SRA) Dengkil dan SRA Kampung Dato Ahmad Razali.

Menurutnya, hujan lebat sejak 1 tengah hari semalam menyebabkan air Sungai Langat melimpah ke beberapa kawasan di daerah itu.

Katanya, sehingga 3 pagi, paras air semakin meningkat kerana Sungai Langat tidak mampu menampung jumlah air yang banyak dan melimpah keluar ke kawasan penduduk.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang sudah menggerakkan seluruh aset dan anggota bagi membantu penduduk yang terkesan," katanya.

ANTARA kawasan terjejas susulan banjir di Dengkil. FOTO Ihsan Pembaca
ANTARA kawasan terjejas susulan banjir di Dengkil. FOTO Ihsan Pembaca

Antara kawasan terjejas adalah Kampung Sungai Merab Jaya, Kampung Lalang, Kampung Ampar Tenang, Kampung Cemperai, Kampung Sri Tanjung, Kampung Orang Asli Sungai Melut, Kampung Orang Asli Batu 28 Jenderam, Taman Delima dan Taman Baiduri.

Sementara itu, di Taman Dataran Abadi, Kampung Labu Lanjut, sebanyak 100 rumah dilanda banjir kilat akibat ban Sungai Labu pecah dan air mengalir ke kawasan rumah penduduk.

Menurut jurucakap bomba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pihaknya menerima panggilan pada 3.30 petang bagi membantu memindahkan penduduk.

Katanya, seramai 200 penduduk terjejas diarahkan berpindah dan berkumpul di Surau Abadi di taman berkenaan.

"Penduduk juga diarahkan membuat ujian saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan kerana terdapat seorang penduduk yang positif."

"Kesemua yang sudah menjalani saringan akan dipindahkan ke PPS di kawasan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 8:18 AM