Jenazah salah seorang juruterbang TUDM dibawa masuk ke Jabatan Forensik HTAA.
Jenazah salah seorang juruterbang TUDM dibawa masuk ke Jabatan Forensik HTAA.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


JENAZAH dua juruterbang pesawat Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam nahas pagi tadi tiba di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) jam 5.10 petang tadi.

Jenazah Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, dibawa menggunakan dua ambulans HTAA.

Sebelum itu jenazah kedua-duanya dibawa menggunakan helikopter dari lokasi kejadian di Kampung Chukai, dekat Kemaman, Terengganu.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamad Noor dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang tiba jam 5.35 petang dan dilihat memasuki bilik mayat bersama-sama.

Tinjauan mendapati beberapa anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah berada di perkarangan bilik mayat, bagaimanapun belum kelihatan ahli keluarga kepada Allahyarham Mohd Hasri serta Yazmi.

Terdahulu, Affendi dalam satu sidang media khas mengesahkan kematian tragedi terbabit.

Mayat mereka ditemui 20 meter antara satu sama lain dengan payung terjun masing-masing kira-kira jam 2.30 petang tadi di kawasan berhampiran Chukai, Kemaman, Terengganu.

Berita berkaitan

Jumpa payung terjun

Kronologi Hawk 1996-2006

Pesawat TUDM terputus hubungan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 5:59 PM