AKSI Zii Jia ketika menentang Sameer Verma.
AKSI Zii Jia ketika menentang Sameer Verma.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jangan menghukum terlalu awal dan beri masa buat perseorangan utama lelaki negara, Lee Zii Jia untuk menyerlah dan mempamerkan potensi sebenarnya.

Itu pandangan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terhadap pemain muda negara itu selepas kekalahan mengejut kepada pemain India, Sameer Verma, 21-18, 25-27, 19-21 semalam.

Kekalahan Zii Jia itu dianggap cukup memalukan dan menerima kritikan hebat daripada netizen yang tidak berpuas hati dengan prestasinya terutama ketika mendahului 17-6 pada set kedua sebelum tewas 25-27 dan kalah 19-21 pada set penentuan.

Ia penampilan kedua Zii Jia di Siri Jelajah Dunia Super 1,000 selepas berjaya mara hingga ke suku akhir Yonex Terbuka Thailand minggu lalu.

Chong Wei berkata, dengan umur Zii Jia yang masih muda, beliau pasti pemain berusia 23 tahun itu masih lagi mencari rentak permainan sebenar dan belum konsisten seperti yang diinginkan penyokong.

"Zii Jia masih muda, jadi bagi dia masa untuk dia perbaiki kelemahan dia. Dia sudah beraksi di dua kejohanan dan gagal mencapai keputusan yang diinginkan. Apa yang penting sekarang ini dia perlu perbaiki kekuatan mental untuk perlawanan akan datang," kata Chong Wei ketika siaran langsung di Instagram bersama bekas pemenang pingat emas Sukan Asia, Tan Boon Heong.

Kekalahan itu menyaksikan dia bakal terlepas peluang beraksi di Final Siri Jelajah Dunia sekiranya pemain Indonesia, Anthony Ginting berjaya melangkah ke suku akhir.

Sementara itu, aksi pusingan pertama semalam menyaksikan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tewas kepada beregu England, Marcus Ellis-Lauren Smith 14-21 21-15 21-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 8:08 PM