ANTARA gejala biasa yang dialami pesakit aterosklerosis adalah berasa sakit dada atau ketidakselesaan yang dikenali sebagai angina.
ANTARA gejala biasa yang dialami pesakit aterosklerosis adalah berasa sakit dada atau ketidakselesaan yang dikenali sebagai angina.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SALURAN darah kaki tersumbat mungkin kedengaran tidak begitu berbahaya seperti serangan jantung atau penyakit kanser.

Namun, tahukah anda, jika ia tidak dirawat dengan segera, saluran darah di bahagian kaki yang tersumbat boleh menyebabkan anggota badan itu perlu dipotong kerana tidak boleh diselamatkan lagi?

Ia adalah penyakit arteri periferi (PAD) iaitu antara penyakit vaskular yang berisiko berlaku kepada mereka yang merokok, menghidap diabetes, mengalami tekanan darah, kolesterol tinggi, berumur lebih 50 tahun dan mempunyai sejarah ada ahli keluarga mengalami penyakit sama.

Pakar Perunding Bedah Am dan Vaskular, Pusat Perubatan Ara Damansara, Dr Syaiful Azzam Sopandi berkata, terdapat beberapa jenis penyakit vaskular dan setiap satu mampu menjejaskan bahagian tubuh yang berlainan.

Kata Dr Syaiful, PAD berlaku apabila arteri yang membekalkan darah ke kaki menjadi sempit atau tersumbat akibat pengumpulan plak kolesterol.

"Individu yang mempunyai PAD mungkin mengalami kesakitan, kebas dan kekejangan di kaki mereka.

"Ia perlu dirawat dengan segera kerana jika dibiarkan boleh menyebabkan komplikasi lebih teruk termasuk iskemia anggota badan kritikal, ulser, gangren dan amputasi," katanya kepada Sihat.

Mengulas lanjut, Dr Syaiful Azzam berkata, selain itu aterosklerosis juga adalah salah satu penyakit vaskular yang sering berlaku dalam masyarakat di negara ini.

ANTARA prosedur rawatan yang dilakukan Dr Syaiful kepada pesakit vaskular di kliniknya.
ANTARA prosedur rawatan yang dilakukan Dr Syaiful kepada pesakit vaskular di kliniknya.

Ia adalah keadaan arteri menyempit dan mengeras akibat pengumpulan plak.

Pengumpulan itu boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuk penyakit jantung dan strok.

Katanya, antara gejala biasa yang dialami pesakit aterosklerosis adalah berasa sakit dada atau ketidakselesaan yang dikenali sebagai angina.

Kesakitan itu mungkin terasa seperti tekanan, meremas atau rasa berat di dada dan boleh merebak ke lengan, leher, rahang atau belakang.

"Selain itu, apabila aterosklerosis berkembang, ia boleh menyekat aliran darah ke jantung, menyebabkan sesak nafas, terutama ketika aktiviti fizikal atau senaman.

"Aterosklerosis berisiko berlaku disebabkan tekanan darah dan kolesterol tinggi, tabiat merokok, diabetes serta faktor genetik.

"Jika ia dibiarkan boleh menyebabkan penyakit arteri koronari, penyakit arteri karotid, penyakit arteri periferal, serangan jantung dan strok," katanya.

Dalam pada itu, pendedahan seorang penyanyi lelaki popular yang mengalami masalah Trombosis Vena Dalam (DVT) turut membuka mata masyarakat mengenai penyakit vaskular berkenaan.

DVT berlaku apabila terdapat pembekuan darah terbentuk di dalam sistem vena dalam, biasanya di bahagian kaki.

Ia bukan sahaja menyebabkan kesakitan malah bengkak dan kemerahan di kawasan yang terjejas.

ATEROSKLEROSIS adalah keadaan arteri menyempit dan mengeras akibat pengumpulan plak.
ATEROSKLEROSIS adalah keadaan arteri menyempit dan mengeras akibat pengumpulan plak.

Dr Syaiful Azzam berkata, individu dengan DVT juga sering mengalami kesakitan (seperti kekejangan) pada bahagian kaki yang terjejas.

Selain itu, kaki terjejas mungkin berasa lebih panas apabila disentuh dan kelihatan lebih merah berbanding kaki yang normal.

"DVT boleh berlaku disebabkan imobiliti berpanjangan seperti menaiki penerbangan dalam tempoh yang panjang atau tidur lama, pembedahan atau kecederaan, mengandung, mengambil pil kawalan kelahiran, obesiti dan amalan merokok.

"Jika tidak dirawat dengan segera, DVT boleh menyebabkan berlakunya embolisma pulmonari (bekuan darah pecah dan bergerak ke paru-paru) serta sakit kaki kronik dan bengkak," katanya.

Selain itu, Dr Syaiful Azzam juga meminta orang ramai berwaspada mengenai satu lagi penyakit vaskular iaitu aneurisma aorta.

Ia biasanya boleh dikenal pasti apabila terdapat bengkak di aorta iaitu arteri terbesar pada badan.

Kata Dr Syaiful Azzam, jika pecah, ia boleh membawa kepada pendarahan yang mengancam nyawa.

Ia juga berisiko berlaku kepada golongan yang lebih berumur, individu yang mengalami masalah tekanan darah tinggi dan faktor genetik.

Katanya, punca utama mengapa ia berlaku tidak terlalu jelas namun faktor risiko diatas dan kecenderungan genetik memainkan peranan penting.

DVT berlaku apabila terdapat pembekuan darah terbentuk di dalam sistem vena dalam, biasanya di bahagian kaki.
DVT berlaku apabila terdapat pembekuan darah terbentuk di dalam sistem vena dalam, biasanya di bahagian kaki.

"Aneurisma aorta biasanya hadir dengan gejala seperti rasa sakit atau ketidakselesaan di perut atau belakang yang berterusan atau secara berkala.

"Dalam sesetengah kes, individu boleh berasakan sensasi berdenyut di perut, terutamanya jika aneurisme adalah besar.

"Seperti kes vaskular lain, aneurisma aorta juga tidak boleh dipandang remeh kerana berisiko menyebabkan ia pecah dan berlakunya kerosakan organ akibat aliran darah berkurangan dan juga kematian.

Dalam pada itu, Dr Syaiful Azzam berkata, pilihan rawatan adalah bergantung kepada jenis dan tahap gred penyakit vaskular yang dialami.

Ini kerana, proses perawatan memerlukan pendekatan dari pelbagai aspek bukan sahaja untuk memastikan keberkesanan rawatan penting dalam bukan sahaja untuk dan juga mengurangkan gejala penyakit malah untuk mencegah komplikasi dan meningkatkan kualiti hidup pesakit secara keseluruhan.

Namun, katanya, individu yang mempunyai penyakit vaskular dinasihatkan supaya mengubah amalan gaya hidup kepada lebih sihat membabitkan diet harian dan senaman.

"Mengamalkan diet yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan protein tanpa lemak serta mengurangkan pengambilan lemak tepu boleh memberi kesan ketara kepada kesihatan vaskular.

"Selain itu, babitkan diri dalam rutin senaman dan riadah bukan sahaja meningkatkan kecergasan kardiovaskular tetapi juga menggalakkan aliran darah yang sihat dengan jenis aktiviti yang sesuai mengikut saranan doktor.

"Paling penting, berhenti merokok kerana ia adalah penyumbang utama kepada penyakit vaskular," katanya.

Sementara itu, prosedur endovaskular seperti angioplasti, peletakan stent, aterektomi; intervensi pembedahan (pintasan, pembaikkan aneurisma, trombektomi) dan prosedur vaskular lain (embolektomi, penapis vena cava) adalah antara rawatan moden yang digunakan untuk merawat penyakit periferi vaskular.

Kata Dr Syaiful Azzam, pemakaian stokin mampat pada kaki juga dapat memberikan tekanan untuk meningkatkan aliran darah dalam sistem vena dan berfaedah untuk keadaan seperti kekurangan vena kronik atau sindrom pasca trombotik.

"Sistem peredaran darah umpama talian hayat badan kita justeru ia seharusnya mendapat perhatian dan penjagaan sebaiknya.

"Apapun, harus diketahui bahawa semua penyakit vaskular juga lebih baik dicegah sejak awal kerana rawatannya membabitkan kos yang tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 6:20 AM