PENUMPANG di bahagian bumbung terbuka melihat pemandangan 360 darjah.
PENUMPANG di bahagian bumbung terbuka melihat pemandangan 360 darjah.
Muhamaad Razis Ismail

Kuala Lumpur cukup sinonim dengan pelbagai bangunan pencakar langit, kesesakan lalu lintas dan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Biarpun begitu, mungkin masih ramai yang tidak mengetahui terdapat banyak tarikan pelancongan yang boleh dikunjungi termasuk Menara Kuala Lumpur, Menara KLCC, Muzium Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Istana Negara.

Penulis sendiri yang sudah menetap selama beberapa tahun di Lembah Klang, belum berkesempatan untuk berkunjung ke semua lokasi menarik ini atas beberapa faktor termasuk kesesakan lalu lintas, ruang parkir yang terhad dan kekangan masa.

Bagi, mereka yang berdepan masalah ini, anda sebenarnya mempunyai alternatif untuk ke pelbagai lokasi menarik di sekitar ibu kota dengan menggunakan perkhidmatan bas dua tingkat dikenali KL Hop-On Hop-Off (HOHO).

Dengan bayaran yang berpatutan, dalam tempoh dua jam anda hanya perlu duduk di dalam bas dan dibawa menikmati keindahan bandaraya Kuala Lumpur.

Pada sebelah siang, terdapat dua pilihan laluan iaitu bandar dan taman untuk satu tiket selama 24 jam bermula 9 pagi hingga 6 petang.

Manakala bagi yang ingin menikmati warna-warni lampu di ibu kota boleh memilih naik pada sebelah malam iaitu 'KL City Of Lights' dengan satu laluan disediakan bermula 8 malam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Azhar Syed Nadzir yang dihubungi berkata, sambutan yang diberikan sangat menggalakkan diberikan terutama pada cuti sekolah dan hujung minggu.

"Selepas pandemik Covid-19, sambutan yang diberikan sangat menggalakkan terutama dalam kalangan pelancong tempatan. Konsep kita lebih kepada memberi pendidikan berkenaan lokasi menarik dan bersejarah di sekitar Kuala Lumpur.

"Pada masa hadapan, kita akan ke beberapa lokasi baru yang akan beroperasi tidak lama lagi. Malah kita akan memulakan semula perkhidmatan bas HOHO di Putrajaya dalam masa terdekat," katanya.

Baru-baru ini, penulis bersama jurugambar mengambil peluang untuk merasai pengalaman menjadi pelancong untuk ke beberapa lokasi menarik di sekitar Kuala Lumpur dengan menaiki bas HOHO.

Penulis memilih untuk menaiki bas di kiosk Bukit Bintang di Sungei Wang Plaza. Sebaik tiba, terdapat ramai pengunjung dalam kalangan warga tempatan dan pelancong asing sudah menunggu bas yang akan tiba pada bila-bila masa.

Sementara menunggu bas, penulis berbual dengan salah seorang pengunjung, Mohd Izzat Iskandar Idris, 36, dari Shah Alam, Selangor yang ingin membawa ahli keluarganya melawat ke beberapa lokasi menarik di ibu kota dengan bas HOHO.

"Biarpun sudah lama bekerja di Kuala Lumpur, saya belum berkesempatan untuk melawat banyak tempat menarik di sini. Oleh itu, saya bersama isteri dan anak mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk menjadi pelancong.

"Dengan menaiki bas ini, saya dapat menikmati keindahan Kuala Lumpur tanpa perlu risau memandu dalam kesesakan lalu lintas dan parkir yang terhad," katanya.

Hampir lima minit menunggu, bas laluan bandar yang dinanti sudah tiba.

Penulis memilih duduk di bahagian bumbung terbuka untuk menikmati keindahan panorama 360 darjah bandaraya Kuala Lumpur dengan lebih dekat.

Nasihat penulis kepada yang memilih naik pada sebelah siang untuk membawa topi atau payung kerana ada kalanya cuaca panas terik.

Dalam kelajuan sederhana, bas akan membawa pengunjung melalui banyak kawasan menarik termasuk Chinatown, Pasar Seni, Muzium Negara, Taman Burung Kuala Lumpur dan Istana Negara. Sepanjang perjalanan, pengunjung turut diberi penerangan berkenaan lokasi yang dilalui.

Di setiap perhentian yang disediakan, pengunjung boleh turun dan menunggu bas berikutnya yang akan tiba dalam tempoh 20 hingga 30 minit dengan menggunakan tiket yang sama.

Setiap kali bas berhenti sama ada di lampu isyarat dan perhentian, pengunjung berpeluang mengambil gambar di kawasan sekitar.

Secara keseluruhan, ini adalah satu pengalaman dua jam yang menarik bagi penulis yang berpeluang berkunjung ke hampir semua lokasi menarik di Kuala Lumpur!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 6:55 AM