ACARA perkelahan turut mencipta rekod tersendiri apabila ia diiktiraf Barisan Perkelahan Terpanjang di Malaysia oleh MBOR.
ACARA perkelahan turut mencipta rekod tersendiri apabila ia diiktiraf Barisan Perkelahan Terpanjang di Malaysia oleh MBOR.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Mengimbau keseronokan zaman lampau.

Itu sebahagian gambaran penganjuran pelbagai pertandingan acara sukan rakyat yang jelas menggamit kenangan.

Selain memeriahkan lagi sambutan Hari Rekreasi Putrajaya 2023 (HRP 2023) di Anjung Floria, Putrajaya, baru-baru ini.

Acara seperti pertandingan jambatan licin, pukul bantal, bola sepak kertas, tarik upih, terompah gergasi dan baling selipar sememangnya masih diminati ramai.

Selain itu, pertandingan menganyam ketupat, tarik tali dalam air, menangkap itik, sepak raga, cap teh serta permainan tradisional seperti ceper, teng teng, bola kelapa, galah panjang juga memiliki kelompok peminat tersendiri.

Ini kerana kebanyakan sukan rakyat dan permainan tradisional itu sudah lagi tidak dimainkan dan kian dilupakan.

Pengunjung, Farizah Abdul Manan, 40, dari Klang, Selangor berkata, selain mengimbau keseronokan kenangan zaman kanak-kanak, dia juga dapat memperkenalkan sukan rakyat itu kepada dua anaknya.

Katanya, budak zaman sekarang sudah tidak berpeluang bermain sukan tradisional seperti itu.

"Mereka tidak tahu keseronokan bermain permainan rakyat itu kerana dunia mereka hanya dengan telefon dan komputer sahaja.

"Jadi, penganjuran program seperti ini sedikit sebanyak dapat mendekatkan generasi muda kepada warisan bangsa," katanya.

Dalam pada itu, selain sukan rakyat dan permainan tradisional, pelbagai aktiviti sampingan lain turut diadakan kepada pengunjung HRP 2023 seperti memanah, petting zoo, mini flying fox, aktiviti seni dan kraf tangan, memanjat pokok, slack line, pameran tapak perkhemahan, jualan makanan, pakaian dan sebagainya.

Lebih istimewa, penganjuran kali ini juga menyaksikan acara perkelahan menarik turut diadakan di sepanjang pantai Floria.

Acara perkelahan itu turut mencipta rekod tersendiri apabila ia diiktiraf Barisan Perkelahan Terpanjang di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Seramai 1,084 peserta mengambil bahagian dalam acara itu yang bersamaan 271 lot tapak perkelahan dengan ukuran sepanjang 500 meter.

Peserta perkelahan turut diadili bagi pertandingan lot 'piknik' tercantik yang dipertandingkan dalam enam kategori iaitu terbuka, komuniti Putrajaya, pelajar sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, pelajar universiti dan pengatur acara.

Sementara itu, kakitangan syarikat swasta yang juga penduduk Putrajaya, Rosliza Ramli, 35, berkata, penganjuran HRP 2023 secara tidak langsung dapat memperkenalkan pusat pentadbiran negara itu sebagai bandar mesra rekreasi.

Katanya, inisiatif itu juga dapat menggalakkan keseimbangan gaya hidup disamping meningkatkan tahap kesihatan penduduk dan masyarakat sekitarnya.

"Pemilihan Anjung Floria sebagai lokasi utama perkelahan juga sesuai kerana ia sebelum ini terkenal sebagai tempat terbaik untuk menikmati matahari terbenam di Putrajaya.

"Selain itu, pengunjung luar juga dapat melakukan pelbagai aktiviti riadah di sini, bukan hanya menikmati keindahan panorama semata-mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 7:02 AM