Muhamaad Razis Ismail


BERUP adalah sebuah binaan berbentuk segitiga dan mempunyai empat kaki yang kebiasaannya dibina di atas puncak bukit atau gunung supaya dapat dilihat dari jauh.

Binaan ini antara jenis stesen trigonometri yang dibina oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk pemetaan, penanda ketinggian dan sesetengahnya digunakan untuk ukuran lot tanah.

Kini, terdapat segelintir individu yang inginkan kelainan dengan 'memburu' berup sebagai aktiviti rekreasi terutama pada setiap hujung minggu.

Salah seorang daripadanya adalah Muhammad Muttaqin Ahmad Razman, 24, yang sudah menawan 43 berup di seluruh negara termasuk Bukit Rasa, Selangor, Bukit Bindu, Johor dan Bukit Palong Tinggi, Perak sejak enam tahun lalu.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, dia mula aktif dengan aktiviti pendakian sejak 2017 dan cenderung memilih untuk mendaki bukit dan gunung yang mempunyai pemandangan cantik sahaja.

"Sebenarnya saya mula mengembara dan menjalankan ekspedisi pendakian ke beberapa puncak yang terdapat berup sebelum 2020 lagi namun pada ketika itu masih belum mempunyai kesedaran dan pengetahuan mengenai stesen trigonometri.

"Pada ketika itu, saya hanya beranggapan berup adalah binaan biasa di atas puncak dan besi buruk yang perlu dibuang kerana mengganggu pemandangan," katanya.

Bagaimanapun, selepas 2020, dia yang mempunyai kumpulan pendaki yang dinamakan sebagai Xplorerz giat menjejak puncak yang mempunyai berup.

Katanya, idea mencari berup ini timbul atas beberapa faktor termasuk terinspirasi dengan beberapa kumpulan pendaki lain yang tidak menjadikan pemandangan cantik sebagai tujuan utama pendakian, tetapi mereka fokus kepada pencarian besi berup.

BERUP dianggap seperti 'harta karun' yang berada di dalam hutan.
BERUP dianggap seperti 'harta karun' yang berada di dalam hutan.

"Ekspedisi ini lebih membuka mata saya mengenai ada lagi tempat yang lebih cantik dan indah berbanding tempat yang sudah dikomersialkan.

"Selain itu, saya sendiri mempunyai beberapa kenalan yang begitu minat mencari berup atau stesen trigonometri di puncak, yang sedikit sebanyak mempengaruhi minat saya ke arah aktiviti ini," katanya.

Menurutnya, kecenderungan terhadap sejarah turut mendorongnya untuk melakukan ekspedisi ini.

"Bagi saya, pencarian berup ini ibarat menjumpai sebuah harta karun yang berharga di puncak kerana ia adalah tinggalan sejarah dan ada yang sudah dibina pada zaman British.

"Bayangkan bagaimana mereka membinanya di tengah-tengah hutan, lebih-lebih lagi di puncak yang tinggi," katanya.

Muhammad Muttaqin mengakui bagi menikmati merasakan pengalaman unik, dia mengambil inisiatif untuk pergi ke tempat yang orang ramai tidak tahu kewujudannya.

"Tidak dinafikan, ada sesetengah puncak berup mempunyai pemandangan dan persekitaran yang cukup mengujakan.

"Saya turut mengambil inisiatif untuk merekodkan segala tempat yang saya pernah pergi dan berkongsi di media sosial sebagai pendedahan kepada orang ramai," katanya.

Jelasnya, kebanyakan ekspedisi mencari berup adalah perlu merintis hutan yang mempunyai cabaran sangat berbeza dan sangat tidak boleh dijangka berbanding dengan pendakian trek komersial.

MEMERLUKAN kekuatan fizikal dan mental yang tinggi kerana perlu menempuh laluan mencabar.
MEMERLUKAN kekuatan fizikal dan mental yang tinggi kerana perlu menempuh laluan mencabar.

"Antara cabaran yang dihadapi ialah resam dan lalang yang lebih tinggi daripada manusia, pelbagai buluh melintang di sepanjang perjalanan dan kawasan yang ditutup sepenuhnya semak tebal.

"Saya sendiri pernah melalui pengalaman tersesat di hutan kerana masih belum cukup ilmu navigasi pada ketika itu. Namun ia tidak mematahkan semangat untuk meneruskan aktiviti ini.

"Pada masa sama, ekspedisi seperti ini juga berisiko bertemu dengan binatang buas. Saya pernah berjumpa dengan binatang buas seperti babi hutan dan pelbagai spesies ular seperti ular kapak, ular sawa dan ular senduk," katanya.

Katanya, ekspedisi rintis hutan mencari berup membuatkan dirinya sentiasa bersyukur dan menghargai segala keindahan alam semula jadi.

"Perkara ini membuatkan saya lebih berhati-hati dan berusaha lebih lagi dalam memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai keindahan dan kepentingan menjaga alam sekitar.

"Saya berasa sangat puas kerana dapat meneroka keindahan alam yang tidak ramai boleh merasakannya. Itulah suatu nilai tambah dan kelebihan yang diperoleh berbanding orang lain. Bagi saya, ini suatu pencapaian yang sangat membanggakan dalam hidup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 7:00 AM