RIADAH santai untuk seisi keluarga.
RIADAH santai untuk seisi keluarga.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


MENGIMBAU keseronokan zaman kanak-kanak.

Suatu ketika dahulu aktiviti melastik biasanya dikaitkan dengan kegiatan kanak-kanak sahaja terutama yang tinggal di kampung namun seiring dengan perkembangan gaya hidup dan teknologi semasa, ia kini dimodenkan selain turut menjadi kegilaan golongan dewasa.

Ia juga menjadi hobi bagi mengisi masa lapang dan aktiviti rekreasi yang dapat mengeratkan hubungan seisi keluarga.

Menurut Shahrul Nizam Basri, 40, dia mula terbabit secara aktif dalam aktiviti melastik pada tahun 2015 dan kini hobi itu turut digemari isteri serta empat anaknya.

Kata Shahrul Nizam, aktiviti itu boleh dilakukan secara keseorangan atau jika mahu lebih meriah, secara berkumpulan bersama ahli keluarga di banyak kawasan termasuk di sekitar rumah.

Ia adalah salah satu cara riadah terbaik untuk mempelajari mengenai sasaran, fokus, ketepatan, teknik pernafasan dan senaman untuk menguatkan otot pada bahagian tangan.

"Kami enam beranak masing-masing mempunyai peralatan lastik sendiri. Jika ada masa terluang di hujung minggu, pasti aktiviti melastik akan menjadi pilihan.

"Tiada apa yang bahaya atau menjadi kesalahan melakukan aktiviti ini cuma perlu sentiasa peka dengan soal keselamatan dan pilih kawasan yang sesuai," katanya kepada Harian Metro.

Jelas Shahrul Nizam, peralatan melastik juga tidak semahal mana kerana apa yang diperlukan hanyalah cabang lastik (fork), getah lastik dan peluru tanah.

Shahrul Nizam yang bekerja sendiri berkata, dia biasanya mencari masa untuk berlatih melastik antara 30 hingga satu jam, termasuk waktu lapang di rumah dengan menggunakan kotak sasaran.

"Katanya, aktiviti melastik memang hobi santai yang menyeronokkan apatah lagi jika dilakukan bersama rakan yang mempunyai minat sama.

"Namun lastik perlu dilakukan secara beretika kerana ia boleh menjadi senjata, alat mempertahankan diri dan juga alat untuk beriadah.

AKTIVITI riadah yang mengimbau memori indah zaman kanak-kanak.
AKTIVITI riadah yang mengimbau memori indah zaman kanak-kanak.

"Jadi, penggemar hobi ini perlu cakna dan sentiasa peka mengenai aspek keselamatan bukan sahaja diri sendiri malah kepada orang serta kawasan di sekeliling, sebaiknya cari kawasan sesuai serta elakkan tempat yang ramai orang," katanya.

Sementara itu, Pengasas Kumpulan Lastik Slingshot Malaysia (SM), Mohammad Samsul Fitri Nordin berkata, komuniti itu diwujudkan atas minat mendalam terhadap hobi berkenaan sejak 2018 dan menjadi platform kepada orang ramai yang menggemari minat sama.

Sehingga kini, komuniti SM sudah mencecah 30 ribu orang dan melakukan pelbagai aktiviti luar secara berkumpulan bagi membantu masyarakat dalam membasmi haiwan perosak seperti tikus, gagak, haiwan perosak di kebun atau dusun, melastik ikan dan sebagainya.

KOMUNITI peminat aktiviti lastik di negara ini.
KOMUNITI peminat aktiviti lastik di negara ini.

Kata Mohammad Samsul, aktiviti yang ada kaitan dengan nostalgia zaman kanak-kanak itu semakin digemari masyarakat di negara ini dan peningkatan paling ketara ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini kerana ketika itu katanya, pergerakan rakyat terbatas dan hanya terhad di sekitar kawasan kediaman masing-masing.

"Berbanding dengan hobi lain, aktiviti melastik ini tidak memerlukan kos yang mahal untuk membeli peralatan asasnya selain ia juga tidak memerlukan kawasan tertentu.

EVOLUSI pembuatan cabang lastik.
EVOLUSI pembuatan cabang lastik.

"Evolusi pembuatan cabang lastik tradisional kepada moden juga tampak lebih elegan dan ia dapat menarik minat golongan muda untuk menceburi aktiviti melastik ini," katanya.

Menurut Mohammad Samsul lagi, harga setiap cabang lastik ditentukan berdasarkan reka bentuk, jenama dan material yang digunakan.

Antara materialnya adalah plastik keras, kayu, besi, bahan campuran, aluminium, titanium dan sebagainya.

"Kalau cabang lastik diperbuat dari material besi premium seperti titanium penuh, harganya boleh bermula dari RM500 ke atas hingga ribuan ringgit.

"Harga yang tinggi juga boleh berlaku jika cabang lastik itu ditempah khas mengikut kesesuaian tangan dan kemahuan bentuk bentuk pembeli," katanya.

Dalam pada itu Mohammad Samsul berkata, daya kuada lastik moden lebih kuat justeru aspek keselamatan perlu sentiasa diutamakan terutama kepada yang baru mencuba hobi berkenaan.

Pemakaian cermin mata keselamatan adalah penting untuk mengelakkan mata dari tercedera jikalau berlaku sesuatu seperti getah terlucut mahupun putus.

Katanya, pengunaan sarung tangan dan mengunakan peluru pil tanah liat sewaktu latihan juga dapat mengelakkan kecederaan.

"Penggunaan 'catch box target' juga penting untuk mengelakkan peluru (pil tanah liat) yang dilastik terbias keluar dari kawasan sasaran.

"Apapun, kena fahami teori dan teknik asas permainan lastik seperti sasaran (aiming) dan tempat rujukan, anchor point, cara pegangan dan pelepasan pouch yang baik.

"Selepas itu barulah diseiringkan dengan kekerapan melakukan latihan melastik untuk mendapat lastik yang tepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 7:00 AM