KEMERIAHAN ketika majlis perlepasan peserta.
KEMERIAHAN ketika majlis perlepasan peserta.
Hafiz Ithnin


CUACA sejuk mencecah sekitar 4 darjah Celsius dan laluan berbecak serta licin kerana hujan tanpa henti. Itu belum lagi perihal, ada yang tergelincir sehingga bergelumang dengan lumpur!

Namun, itulah cabaran yang perlu dilalui lebih 300 peserta yang menyertai larian denai, Cameron Sundown bertempat di Cameron HighlandS, Pahang baru-baru ini.

Kejohanan larian denai itu yang dianjurkanBOLT Events Management memerlukan peserta merekodkan pusingan paling terbanyak dalam tempoh 12 jam bermula 10 pada 26 Februari malam sehingga 10 pagi pada 27 Februari lalu.

Walaupun dari segi jarak yang perlu ditempuhi hanya membabitkan sekitar 7.8 kilometer (km), namun ia bukan sesuatu yang mudah.

Ini kerana peserta bukan sahaja perlu melalui jalan raya pada awal larian tetapi mendaki Gunung Berembun setinggi kira-kira 1,800 meter.

Cabaran itu turut sememangnya bukan sahaja memerlukan peserta mempunyai tahap endurance yang tinggi malah mampu mengawal emosi dengan baik.

Sebaik sahaja majlis pelepasan peserta dilakukan di Padang Awam Tanah Rata, peserta perlu melalui beberapa lokasi antaranya Taman Sedia, Kem Sungai Pauh dan memasuki laluan denai sebenar menuju ke Gunung Berembun, ladang teh dan kembali di lokasi permulaan.

BARISAN pemenang kategori lelaki terbuka yang menerima pelbagai barangan daripada penaja.
BARISAN pemenang kategori lelaki terbuka yang menerima pelbagai barangan daripada penaja.

Di awal acara, hanya persekitaran sejuk sekitar 12 darjah Celsius menjadi cabaran tetapi secara purata apabila memasuki pusingan kedua, hujan lebat pula menjadi cabarannya.

Ketika itu, cabaran sebenar larian bermula kerana laluan denai sudah berubah seperti laluan air terjun dan memasuki pusingan seterusnya, laluan tidak ubah menjadi 'bubur.'

Pengarah Komunikasi dan Media BOLT Events Management, Azlihana Abdul Rahim berkata, acara itu diadakan di Cameron Highlands kerana ia mempunyai kawasan tanah tinggi yang mampu mencabar ketahanan peserta dari segi suhu dan juga kemampanan endurance peribadi.

Jelasnya, acara itu mendapat sambutan positif terutama mereka yang aktif dalam aktiviti larian denai tempatan memandangkan sudah lama acara larian denai tidak dapat dianjurkan akibat pendemik Covid-19.

"Dalam penganjuran acara ini kami melakukan prosedur yang ketat kepada peserta bagi mengelakkan berlaku penularan virus berkenaan.

"Antaranya kami mengehadkan jumlah peserta dan setiap peserta perlu melakukan ujian pengesahan Covid-19, RTK Antigen ketika pendaftaran," katanya.

Katanya lagi, kejohanan itu sememangnya mempunyai cabaran tersendiri terutama situasi hujan lebat yang tidak dijangka berlaku ketika acara.

"Namun, perkara itu tidak mematahkan semangat kebanyakan peserta kerana juara untuk kategori terbuka lelaki yang dimiliki Ahmad Aqwa Othman mampu menamatkan enam pusingan dengan jumlah jarak keseluruhan 46.5 km. Manakala bagi juara wanita terbuka pula lima pusingan (38.75km) dimiliki Izzah Hazirah Abdul Malek.

AKSI peserta yang melalui cabaran dalam larian denai Cameron Sundown.
AKSI peserta yang melalui cabaran dalam larian denai Cameron Sundown.

"Bagi juara kategori lelaki veteran menamatkan enam pusingan dimiliki Alexander Tilley dan juara wanita veteran, Faherina Mohd Esa menamatkan empat pusingan (31 km)," katanya.

Tambahnya, Cameron Sundown juga adalah acara bagi memperkenalkan Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan sukan tempatan.

"Pengenalan acara ini di Cameron Highlandsbagi menonjolkan selain daripada terdapat laluan larian denai yang mencabar, ia juga mempunyai panorama hijau yang unik kerana sentiasa berkabus dan matahari tenggelam dan terbit yang amat menarik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 6:16 AM