MEMULAKAN kayuhan jam 8 pagi.
MEMULAKAN kayuhan jam 8 pagi.
Aniza Zainudin

Trek berbasikal yang mencabar dan sukar, faktor utama menggamit penyertaan tinggi dalam kalangan pencinta sukan basikal gunung (mountain bike).

Ini terbukti apabila Program Paya Besar Fest Challenge (PBFC) - Mountain Bike (MTB) Jamboree 2.0 berjaya mengumpulkan kira-kira 600 peserta.

Tarikan program ‘mountain bike’ yang memulakan kayuhan di Kolej Komuniti Paya Besar, Gambang, Pahang ini terletak pada 15 buah bukit yang perlu ditawan peserta bagi menamatkan jarak kayuhan sejauh 40 kilometer (km).

PBFC MTB Jamboree 2.0 ini berlangsung pada 17 November lalu, di sekitar Gambang menjadi penganjuran kali kedua selepas diadakan tahun lalu di Felda Panching Selatan.

BERTUJUAN mempromosikan sukan lasak di Gambang.
BERTUJUAN mempromosikan sukan lasak di Gambang.

Program anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti Paya Besar ini turut menjalinkan kerjasama dengan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Paya Besar, Kelab Mahasiswa Paya Besar, Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia, Kolej Komuniti Paya Besar, Majlis Perbandaran Kuantan dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Pengurus Promosi dan Publisiti, Marlini Mohamad Mahya berkata, PBFC MTB ini terbuka kepada peserta pelbagai peringkat usia bermula 12 tahun ke atas dengan mempertandingkan tujuh kategori termasuk Lelaki Master (36-45 tahun), Lelaki Terbuka (19-35 tahun), Wanita Terbuka (12 tahun ke atas), Lelaki Veteran (46 tahun ke atas), Fatbike (12 tahun ke atas), Heavyweight (90 kilogram ke atas) dan Lelaki Junior (12-18 tahun).

LAPAN puluh peratus laluan luar jalan raya.
LAPAN puluh peratus laluan luar jalan raya.

“Tahun ini kami menerima penyertaan menggalakkan daripada peserta wanita dan pasukan mewakili institusi pengajian tinggi awam di Selangor dan Negeri Sembilan.

“Tarikan kayuhan kali ini semestinya trek luar jalan raya yang mencabar. Peserta perlu melalui laluan balak, denai, berbukit, berbatu dan sungai di sekitar Gambang.

“Cabaran paling utama yang menguji stamina peserta adalah mendaki 15 buah bukit dengan permukaan muka bumi yang bertingkat-tingkat, berbatu dan berpasir sehingga mereka perlu menggunakan tali untuk menarik basikal.

“Faktor cuaca yang panas turut memberi tekanan dan cabaran kepada peserta untuk menamatkan kayuhan, namun berdasarkan maklum balas mereka sangat berpuas hati dengan laluan disediakan.

“Trek kayuhan ini merangkumi 20 peratus jalan raya, manakala selebihnya laluan berbukit-bukau dan jalan balak,” katanya.

PESERTA perlu merentasi 15 bukit.
PESERTA perlu merentasi 15 bukit.

Dalam masa sama, PBFC juga turut membuka penyertaan kepada peserta larian denai menerusi tiga kategori, lima, 10 dan 21km buat pertama kalinya.

Katanya, acara larian ini memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk memeriahkan program bersama 500 peserta larian dari seluruh negara.

Menurut Marlini, objektif utama penganjuran kayuhan memberi peluang kepada peserta meminati acara lasak dengan menyajikan laluan serta pemandangan cantik serta menyegarkan di Gambang.

Selain itu, ia bertujuan mempromosikan lokasi riadah dan rekreasi di Paya Besar, antaranya Air Terjun Sungai Pandan, Air Terjun Panching dan Bukit Panorama kepada semua peserta dari seluruh Malaysia.

Katanya, program ini akan diadakan pada masa depan dengan laluan dan cabaran baharu bagi aktiviti kayuhan berbasikal, larian dan pendakian dengan kerjasama kerajaan serta agensi tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 6:00 AM