Susunan Aniza Zainudin

PULAU di Malaysia sering menjadi tumpuan pelancong asing kerana keindahan pantai dan laut yang biru. Malah rata-rata pelancong asing yang pernah ditemui mengakui pulau Malaysia memiliki keistimewaan tersendiri berbanding negara lain.

Bagi mereka yang ingin menenangkan fikiran sambil menghayati kehebatan alam, pastinya percutian ke pulau menjadi pilihan utama.

Berikut antara panduan yang boleh dijadikan rujukan bagi mereka yang sedang merancang percutian ke pulau indah:

BEG galas lebih mudah dibawa. FOTO NSTP
BEG galas lebih mudah dibawa. FOTO NSTP

1. Beg galas

Apabila anda merancang untuk bercuti ke pulau, pemilihan bagasi adalah penting bagi memudahkan pergerakan. Berbanding beg beroda, beg galas dilihat lebih bersesuaian kerana ia mudah dibawa dan disandang ke belakang badan.

Percutian bajet ke pulau pastinya anda terpaksa menggunakan pengangkutan air seperti feri ataupun bot laju, jadi beg galas senang untuk dibawa masuk ke dalam kenderaan berkenaan. Selain itu, bagi sesetengah jeti atau hentian ada juga tidak diuruskan dengan baik.

Ini merujuk kepada permukaan lantai, pasir berbatu yang dijadikan pelantar untuk anda turun, kadangkala permukaannya tidak rata sekali gus menyukarkan anda menarik beg beroda, jadi pemilihan beg galas sebagai bagasi adalah tepat.

2. Pakaian selesa

Penampilan ketika bercuti pasti dititikberatkan bagi merakamkan foto menarik dan menyerlah ketika berada di tengah lautan mahupun tepi pantai.

Meskipun begitu, disarankan untuk memilih pakaian yang selesa dengan rona menarik dan ceria sekali gus menaikkan seri foto kenangan anda.

Jangan lupa bawa bersama sandal untuk anda berjalan-jalan di tepi pantai atau melakukan aktiviti sukan laut.

PEMAKAIAN krim pelindung matahari dapat mengelakkan kulit terbakar. FOTO NSTP
PEMAKAIAN krim pelindung matahari dapat mengelakkan kulit terbakar. FOTO NSTP

3. Krim pelindung matahari

Produk penjagaan kulit ini sangat penting bagi melindungi kulit wajah atau tubuh daripada terbakar dek pancaran mentari yang tinggi di pulau.

Terdapat pelbagai jenis dan jenama krim pelindung matahari di pasaran, anda boleh pilih mengikut kesesuaian diri.

Selain itu, anda juga boleh memakai topi untuk mengurangkan impak terbakar dan pada masa sama, menambahkan gaya pada penampilan.

BAWA wang tunai secukupnya. FOTO NSTP
BAWA wang tunai secukupnya. FOTO NSTP

4. Wang tunai

Wang tunai perlu dibawa secukupnya bagi menampung perbelanjaan tambahan dan tidak dijangka kerana dikhuatiri tiadanya atau kurangnya fasiliti mesin pengeluaran wang di lokasi itu.

Ini kerana terdapat pelbagai makanan enak atau barangan menarik yang ingin dicuba dan dibeli sepanjang berada di pulau berkenaan.

5. Pakaian renang

Rugi sekiranya bercuti ke pulau tetapi anda tidak melakukan pelbagai sukan air yang menarik seperti menyelam skuba, snorkeling, menjejak pulau, ‘banana boat’ dan jetski.

Bagi aktiviti seperti ini, anda boleh membawa bersama pakaian renang bersesuaian ataupun pakaian diperbuat daripada fabrik jenis jersi yang cepat kering.

Selain itu, bawa bersama tuala kerana selepas melakukan aktiviti berkenaan pastinya tubuh berasa sejuk ditambah pula tiupan angin yang kuat.

SARUNG gajet kalis air penting untuk melindunginya daripada rosak. FOTO NSTP
SARUNG gajet kalis air penting untuk melindunginya daripada rosak. FOTO NSTP

6. Sarung gajet kalis air

Pastikan anda membawa bersama sarung gajet kalis air bagi melindungi telefon pintar dan kamera anda daripada risiko rosak.

Anda juga boleh membawa beg galas kecil kalis air juga untuk menyimpan segala gajet dan barangan peribadi sewaktu berada di atas bot.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 9:16 AM