HAMPIR semua isi rumah di Gaza tiada makanan mencukupi setiap hari. FOTO Reuters
HAMPIR semua isi rumah di Gaza tiada makanan mencukupi setiap hari. FOTO Reuters
Syarifah Dayana Syed Bakri

Buka saja media sosial, ramai warganet merungut mengenai bazar Ramadan. Topik rungutan tidak lari dari berkaitan harga makanan yang dikatakan terlalu mahal atau kualiti makanan yang dilihat tidak layak dijual.

Saban tahun warganet akan berkongsi menu 'luar biasa' dibeli di bazar Ramadan antaranya karipap oksigen, roti john ayam tanpa ayam, martabak nipis penuh bawang dan tauhu bergedil isi kentang semata-mata.

Dalam kita merungut kualiti makanan di bazar Ramadan, saudara kita di Palestin langsung tidak ada pilihan juadah apa mereka akan suap ke mulut anak-anak mereka.

Mereka hanya mengharapkan bantuan dari negara luar. Jika Israel kenakan sekatan di sempadan, maka tiada apalah dapat dipanjangkan ke keluarga Palestin.

Pada hari pertama Ramadan, kita di Malaysia mengimarahkan masjid menunaikan solat Tarawih dan sudah mula membeli-belah dalam talian mencari baju raya.

Berbeza di Palestin di mana mereka dibelenggu masalah kebuluran, penyakit dan kesejukan, selain berdepan ancaman serangan bom tanpa henti tentera Israel.

Penduduk di Gaza berdepan perang dengan ada antara mereka perlu mencari ahli keluarga yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

Zaki Abu Mansour berkata, untuk berbuka puasa, dia hanya memiliki sebiji tomato dan timun untuk dijamah.

Katanya, dia tidak mempunyai wang untuk membeli apa-apa dan barangan yang ada, dijual pada harga terlalu tinggi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata analisis terkini daripada Integrated Food Security Phase Classification (IPC) mencerminkan keadaan yang meruncing dihadapi penduduk Gaza.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata lebih sejuta orang dijangka menghadapi kelaparan melainkan lebih banyak makanan dibenarkan masuk ke Gaza.

Katanya, sebelum krisis yang berlaku ketika ini, makanan adalah mencukupi untuk populasi di Gaza dan isu pemakanan tidak seimbang jarang berlaku.

Menurutnya, keadaan berbeza ketika ini di mana mereka sedang menunggu ajal dan ramai jatuh sakit.

IPC berkata, keseluruhan penduduk Semenanjung Gaza berjumlah 2.23 juta itu menghadapi ketidakstabilan bekalan makanan yang teruk.

Ia berkata kebuluran kini dijangka berlaku dan tidak dapat dielakkan di utara Gaza serta seluruh kawasan pentadbiran Gaza dan dijangka menjadi kenyataan dari pertengahan Mac hingga Mei 2024.

Ghebreyesus berkata laporan IPC mengesahkan bahawa WHO telah menyaksikan dan membuat laporan selama berbulan-bulan.

Mereka mendapati pekerja kesihatan keletihan dan kelaparan meminta makanan dan air ketika membuat lawatan ke hospital di sana.

Malah, mereka juga menyaksikan pesakit dalam proses penyembuhan selepas pembedahan untuk menyelamatkan nyawa dan kehilangan anggota badan, menghidapi kanser atau diabetes, ibu yang baharu saja melahirkan bayi, semuanya menderita kelaparan selain bebanan penyakit dihidapi.

Katanya, tanpa peningkatan ketara dan segera dalam penyampaian makanan, air dan keperluan penting yang lain keadaan akan bertambah buruk.

Ini kerana hampir semua isi rumah tiada makanan mencukupi setiap hari dan orang dewasa mengurangkan makanan mereka supaya kanak-kanak dapat makan.

Ghebreyesus berkata pada masa ini, kanak-kanak menghadapi kematian daripada gabungan pemakanan tidak seimbang dan penyakit.

Pemakanan tidak seimbang menjadikan mereka mudah jatuh sakit, mengalami pemulihan yang lambat atau mati apabila mereka dijangkiti penyakit.

Kesan jangka panjang pemakanan tidak seimbang, kurang pengambilan makanan yang kaya dengan zat makanan, jangkitan berulang dan kurang kebersihan dan perkhidmatan sanitasi memperlahankan keseluruhan tumbesaran kanak-kanak yang seterusnya menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan generasi akan datang.

Menurutnya, WHO dan rakan kongsi PBB lain telah meminta Israel supaya membuka lebih banyak laluan untuk menyeberangi sempadan dan mempercepatkan kemasukan dan penyampaian air, makanan, bekalan ubat-ubatan dan lain-lain bantuan kemanusian ke Gaza.

Katanya, usaha menyampaikan bantuan melalui jatuhan udara dan laluan maritim baru-baru ini dialu-alukan tetapi dengan meluaskan penghantaran melalui jalan darat akan membolehkan penyampaian bantuan berskala besar dilakukan untuk mengelakkan kebuluran.

Berdasarkan laporan terkini, nampak gayanya Benjamin Netanyahu masih berdegil dan enggan menerima cadangan gencatan senjata selama enam minggu di Gaza.

Ini bermakna, di saat kita sudah mula berfikir mengenai cuti raya dan juadah raya, saudara kita di Palestin hidup dalam kelaparan sehingga Syawal nanti.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 7:01 AM