KARNIVAL Kerjaya Wanita MYFutureJobs PERKESO 2024. FOTO Nur Iqbal Syakir Mohd Salleh
KARNIVAL Kerjaya Wanita MYFutureJobs PERKESO 2024. FOTO Nur Iqbal Syakir Mohd Salleh

DALAM kita meraikan Hari Wanita Sedunia, detik ini adalah yang terbaik untuk mencerminkan tahap kemajuan Malaysia terhadap daya tahan dan pertumbuhan ekonomi, yang dipacu secara ketara melalui penyertaan aktif wanita.

Dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkadar empat hingga lima peratus menjelang akhir 2024, Malaysia kini memberi tumpuan ke arah mewujudkan lebih banyak pekerjaan yang menyediakan gaji sara hidup selari produktiviti dan menawarkan perlindungan sosial mencukupi untuk melonjak taraf hidup rakyat.

Matlamatnya adalah dengan memudahkan capaian peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia dan mengekalkan kerjaya mereka.

Namun, apabila menyentuh isu tenaga kerja, terdapat jurang yang tidak dapat dinafikan antara wanita dan lelaki berkaitan peluang pendapatan.

Menurut Bank Dunia, wanita kurang terlibat dalam tenaga kerja apabila hanya separuh daripada mereka yang berpotensi untuk bekerjaya berada dalam tenaga kerja, berbanding lelaki sebanyak 80 peratus. Di Malaysia, angka ini dilaporkan sedikit tinggi pada paras 55.5 peratus, namun agak ketinggalan berbanding negara ASEAN lain termasuk Laos, Singapura, Vietnam dan Kemboja.

Perbandingan ini menunjukkan sebahagian besar wanita di Malaysia tercicir daripada meraih peluang pekerjaan formal yang menawarkan gaji yang lebih baik dan jaminan perlindungan sosial.

Menyedari hakikat bahawa ramai wanita berada di luar pasaran buruh, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengorak langkah tuntas untuk mewujudkan menerusi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) bagi menangani jurang perlindungan bagi individu dalam ekonomi penjagaan.

Bagaimanapun, demi mengekalkan momentum ekonomi, terutamanya ketika berdepan perubahan demografi seperti penurunan kadar kelahiran dan penuaan penduduk, negara perlu memanfaatkan potensi penuh tenaga kerja sedia ada.

McKinsey & Co melaporkan bahawa usaha merintis kesaksamaan wanita boleh menyumbang kepada peningkatan keseluruhan KDNK Malaysia sebanyak AS$50 bilion setahun menjelang 2025, iaitu lonjakan lapan peratus berbanding KDNK pada kadar biasa (business-as-usual GDP).

Berikutan peluang ketara ini, rangka kerja Malaysia MADANI menyasarkan peningkatan penyertaan tenaga kerja wanita kepada tahap 60 peratus, sebagai mengiktiraf bakat yang belum diterokai dalam kalangan golongan hawa.

Dalam menjayakan matlamat ini, kekangan yang membelenggu pembabitan wanita dalam tenaga kerja mesti ditangani, terutama dengan menyokong usaha wanita mengimbangi antara peranan profesional mereka dan tanggungjawab terhadap keluarga serta menyediakan khidmat penjagaan.

Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) menggariskan faedah cuti bersalin berbayar dan penjagaan kanak-kanak berkualiti tinggi adalah pelaburan utama membantu wanita kekal dalam tenaga kerja.

Dalam kerangka ini, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengorak langkah ke hadapan dengan memperluas cuti bersalin dan cuti isteri bersalin (paterniti) di bawah Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) untuk mempromosikan keperluan menggalas tanggungjawab keluarga secara bersama dalam kalangan pasangan yang baru menimang cahaya mata.

Namun, masih banyak usaha yang perlu dilakukan. Ketika ini, liabiliti kewangan faedah bersalin dan cuti menjaga anak hanya ditanggung majikan. Kos ini dipindahkan secara langsung kepada wanita apabila mereka berdepan kesukaran memasuki pasaran buruh.

Memandangkan wanita lebih cenderung menggalas peranan penjagaan, pelanjutan tempoh faedah bersalin dan pengambilan cuti menjaga anak secara kerap sering dilihat sebagai kos tambahan untuk majikan, sekali gus memaksa kebanyakan wanita untuk berundur daripada sektor tenaga kerja.

Walaupun dasar kekeluargaan ini baik, namun tanpa sedar sebenarnya percaturan ini mungkin merencatkan pengambilan kerja dalam kalangan wanita terutama untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana melihat ia sebagai kos tambahan operasi.

Kebimbangan ini jelas kelihatan menerusi statistik buruh negara yang menyaksikan golongan wanita berusia boleh melahirkan zuriat, kurang mengambil bahagian dalam tenaga kerja.

Untuk merungkai masalah ini, PERKESO meneroka penyelesaian alternatif seperti merencana faedah tunai bersalin dan cuti menjaga anak ke dalam model insurans sosial PERKESO. Usaha ini bagi mengurangkan beban kewangan majikan dan pekerja dalam berdepan perihal berkaitan melahirkan zuriat.

Prinsip pelaksanaannya adalah dengan mengagihkan kos yang terpaksa ditanggung apabila mendapat zuriat di kalangan pencarum PERKESO yang aktif dalam pasaran buruh.

Dasar yang dicadangkan ini juga diumumkan oleh Kerajaan di bawah Belanjawan 2023, malah pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) 2017 sedang dalam semakan oleh KESUMA untuk mewujudkan faedah cuti bersalin yang mapan, selari amalan diterapkan kebanyakan negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Sebagai contoh, negara jiran kita, Vietnam, memberi tumpuan terhadap kesaksamaan jantina sejak Dasar Pembaharuan Ekonomi Doi Moi pada 1986, sekali gus melayakkan golongan wanita di negara tersebut mendapat manfaat enam bulan cuti bersalin dengan gaji penuh menerusi Undang-Undang Insurans Sosial.

Berikutan keutuhan aspek undang-undang dalam penjagaan kanak-kanak dan bersalin, Vietnam kini mempunyai kadar tertinggi penyertaan buruh wanita di rantau ini, setanding negara-negara yang lebih maju.

Selari bagi misi kerajaan untuk mengukuhkan SIP dengan mengalihkan tumpuan daripada melindungi kerjaya kepada melindungi pekerja, kini adalah masa yang tepat untuk meningkatkan faedah bersalin dan cuti berbayar bagi menjaga anak untuk menggalakkan lebih ramai wanita menyertai tenaga kerja.

Pembaharuan ini hanyalah permulaan, yang membawa kepada langkah-langkah lebih taktikal seperti latihan dan perkhidmatan pekerjaan yang disesuaikan untuk menjamin kelancaran peralihan bagi wanita dalam tempoh berhenti sementara daripada pekerjaan kerana cuti bersalin serta meningkatkan pengambilan cuti berbayar bagi menjaga anak untuk menyokong waktu-waktu kecemasan dalam penjagaan zuriat.

Malah, ini juga boleh menjadi permulaan untuk menangani pelbagai faktor yang didepani golongan wanita rentan dalam konteks lebih luas. Ia antara lain meliputi pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi golongan wanita daripada latar belakang berbeza seperti wanita orang kurang upaya (OKU), bekas banduan dan wanita di usia emas.

Pelaksanaan program pasaran buruh ad-hoc sedia ada di bawah program PERKESO Daya Kerjaya juga sedang giat dilaksana untuk menyasarkan sokongan kepada kumpulan terpinggir ini, bagi memudahkan pembabitan mereka dalam tenaga kerja dengan jayanya.

Sempena Hari Wanita Sedunia pada bulan Mac, sudah tiba masanya untuk kita komited memajukan dasar dan amalan yang bukan sahaja membolehkan wanita untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam tenaga kerja tetapi juga mengukuhkan struktur ekonomi dan sosial Malaysia secara keseluruhan.

Sebagaimana Mantan Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde, dalam bait katanya pernah menyebut "Apabila wanita buat lebih baik, ekonomi bertambah sejahtera."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 5:59 AM