GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Dr Siti Idayu Hasan dan Prof Madya Dr Nur Amani Ahmad Tajuddin

Umum tahu Hari Kanak-Kanak Sedunia disambut pada 20 November setiap tahun. Kali ini, 'Investing in our future means investing in our children' dipilih sebagai tema oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Ia bertepatan untuk kita menyantuni peningkatan trend penggunaan rokok dan vape dalam kalangan remaja sebagai ancaman yang perlu ditangani dengan tegas.

Gerakan Generasi Penamat (GEG) yang menggalas tanggungjawab mendepani isu ini perlu diterima sebagai visi ikhlas dalam menghapuskan tabiat merokok dan vape untuk generasi akan datang. Usaha komprehensif perlu dilakukan berikutan ancaman bukan sahaja hadir daripada kalangan gergasi industri tembakau, malah daripada industri vape. Kedua-dua industri ini secara halus menyasarkan generasi anak kita sebagai mangsa. Data terkini daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022: Kajian Kesihatan Remaja memberikan bukti jelas ancaman vape terhadap kesihatan awam.

Melalui kajian itu, didapati ramai remaja Malaysia kini sudah bereksperimentasi dengan rokok dan vape. Suatu masa dahulu, kita mungkin hanya bimbang mengenai penggunaan rokok konvensional dalam kalangan mereka, namun musuh yang satu ini kini telah berevolusi. Rokok elektronik (atau vape) kini dilihat sebagai elemen gaya yang perlu diikuti remaja. Ramai dalam kalangan mereka diperdayakan dengan imej yang kononnya vape 'lebih selamat' dan 'lebih bergaya'.

Malah, permainan persepsi ini sememangnya menunjukkan kejayaannya memerangkap anak kita. Data kajian NHMS 2022 menunjukkan 14.9 peratus remaja telah mencuba atau menggunakan vape secara kerap, suatu peningkatan mendadak daripada 9.8 peratus pada 2017.

Lebih memeranjatkan ialah kadar kekerapan penggunaan vape apabila dibandingkan dengan rokok. Dalam kalangan remaja lelaki, penggunaan vape adalah dua kali ganda berbanding rokok, manakala dalam kalangan remaja perempuan, jumlah ini meningkat empat kali ganda!

Walaupun jumlah keseluruhan perokok remaja didapati menurun kepada 6.2 peratus berbanding 13.8 peratus pada 2017, namun ini tidak seharusnya dilihat sebagai kejayaan. Perjalanan bagi memastikan generasi akan datang bebas daripada bahaya rokok penuh dengan cabaran.

Jika benar-benar ingin melihat mereka bebas dalam erti kata sebenar, maka visi dan strategi yang dibawa oleh pendukung GEG perlulah diangkat secara kolektif oleh semua pihak. Ibu bapa, keluarga, pendidik, masyarakat dan penggubal undang-undang mesti berganding bahu menghapuskan semua produk tembakau dan vape, demi sebuah pelaburan untuk anak kita.

Ramai golongan dewasa masih tidak tahu dan melihat vape sebagai alternatif rokok yang lebih 'sihat' atau 'selamat'. Persepsi salah ini sangat membimbangkan. Oleh itu, peranan ibu bapa dan guru diperlukan bagi membanteras tabiat ini daripada awal kerana mereka golongan yang mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dan kelompok lebih dewasa di sekeliling mereka.

Perasaan ingin tahu dan ingin mencuba dalam kalangan remaja boleh mengancam tahap kesihatan fizikal dan mental mereka, jika terdedah kepada asap rokok dan vape sejak usia muda. Bayi, kanak-kanak dan remaja yang terdedah kepada asap rokok dan vape daripada ibu bapa atau ahli keluarga terdekat digelar sebagai perokok pasif. Mereka berisiko lebih tinggi untuk menerima jangkitan telinga tengah, jangkitan paru-paru yang kerap dan berulang, asma yang tidak terkawal dengan baik, kesukaran pembelajaran, perkembangan pertumbuhan yang lemah, gangguan tumpuan, penurunan prestasi di sekolah, prestasi sukan yang merosot serta sindrom kematian bayi mendadak (SIDS).

Nikotin, bahan bahaya di dalam rokok dan hampir semua vape mengakibatkan ketagihan. Jika sistem saraf dan otak golongan yang sedang membesar ini terdedah kepada bahan berbahaya ini sejak awal, akan mengakibatkan ketagihan lebih buruk kepada mereka.

Malah, kajian menunjukkan nikotin adalah penyumbang utama kepada laluan untuk remaja mencuba dan kemudiannya menjadi pengguna bahan larangan seperti dadah dan secara langsung memberi kesan buruk kepada masa depan mereka. Selain itu, nikotin juga terbukti dalam menyebabkan penuaan kulit secara pramatang, peningkatan kadar denyutan jantung yang mengakibatkan tekanan darah tinggi, kanser mulut, esofagus, perut, dan paru-paru, meningkatkan risiko masalah gastrik, pankreas, kencing manis dan strok.

Vape, walaupun ada di antaranya tidak mempunyai nikotin, tetap berbahaya kerana kehadiran perisa tambahan dan pewarna di dalam cecair yang digunakan. Malah, kajian menunjukkan terdapat lebih 200 bahan kimia di dalamnya dan menyebabkan kesan langsung kepada kemerosotan kapasiti paru-paru sehingga mengekang individu daripada melakukan aktiviti fizikal.

Ini secara langsung menyumbang kepada pertambahan berat badan dan memburukkan masalah obesiti. Selain bahaya kepada kesihatan fizikal, rokok dan vape dalam kalangan kanak-kanak dan remaja terbukti mengancam kesihatan mental. Kajian menunjukkan terdapat peningkatan kes kemurungan, yang mengakibatkan kesukaran pembelajaran, prestasi akademik yang menurun, masalah sosial, dan turut membawa kepada penyalahgunaan dadah.

Oleh itu, Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 perlu dibentang dan dilulus segera.

Penulis Dr Siti Idayu Hasan ahli Kumpulan Penyelidikan dan Kerjasama Ketagihan Nikotin (NARCC) dan Pegawai Impak di Pusat Penglibatan Komuniti Universiti Malaya (UMCares). Manakala Prof Madya Dr Nur Amani Ahmad Tajuddin adalah Timbalan Koordinator NARCC dan Pakar Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 7:01 AM