KEADAAN di Gaza selepas serangan puak Zionis Israel. FOTO AFP
KEADAAN di Gaza selepas serangan puak Zionis Israel. FOTO AFP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Memang satu nikmat yang besar apabila boleh hidup aman dan damai di negara sendiri. Manakala perkara yang tidak dapat diterima oleh warganegara yang merdeka pula apabila bumi mereka dijajah, apatah lagi mereka diusir dari tanah tumpah darah. Situasi inilah yang dihadapi penduduk Palestin yang berhadapan kekejaman rejim Zionis Israel. Mereka bukan sahaja dizalimi di bumi tanah tumpah sendiri, malah hampir setiap saat menghadapi serangan dan pembunuhan oleh rejim zionis.

Pergolakan di bumi Palestin, bukan sahaja menjadi tanggungjawab rakyat Palestin untuk mempertahankan hak dan ketuanan mereka. Isu Palestin bukan semata-mata isu penduduk Palestin, tetapi ia isu sejagat yang wajib ditangani oleh umat Islam. Bahkan, ia isu yang melibatkan pencalaran terhadap hak warganegara Palestin untuk hidup bebas di negara sendiri. Malah, lebih daripada itu sebagai seorang Muslim bumi Palestin yang padanya terdapat Masjid al-Aqsa adalah tanah suci umat Islam.

Kesucian Masjid al-Aqsa ini jelas daripada pemilihannya sebagai 'masra' (destinasi Israk) Nabi Muhammad SAW semasa peristiwa Israk dan Mikraj. Pernyataan ini disebut Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Isra', ayat 1)

Setiap warganegara sepatutnya bersedia untuk mempertahankan negaranya daripada anasir yang mengganggu-gugat keselamatan dan kestabilan negaranya. Setiap orang mesti bersedia berkorban untuk mempertahankan negara dengan segala kemampuan yang ada berdasarkan bidang dan peranan masing-masing. Pengorbanan terhadap negara adalah tanda kecintaan dan kesetiaan kepada negara. Ia boleh dimanifestasikan dengan pelbagai cara. Banyak elemen penting yang melibatkan pengorbanan terhadap negara seperti perkhidmatan awam, keselamatan, undang-undang, kemasyarakatan, pendidikan dan banyak lagi.

Manifestasi pengorbanan tersebut boleh dibuktikan melalui sumbangan dalam penyediaan dan keterlibatan dalam perkhidmatan awam yang terbaik. Sekiranya terlibat sebagai anggota keselamatan pula mestilah bersedia untuk mencurahkan segala usaha dan tenaga untuk menjamin keselamatan negara daripada sebarang ancaman musuh.

Begitu juga untuk sanggup berkorban harta dan nyawa dalam mempertahankan negara daripada anasir dalaman dan luaran yang mengancam keselamtan negara. Warganegara biasa juga berperanan untuk membantu kemakmuran negara dengan mematuhi segala peraturan dan undang-undang dan tidak melanggarnya. Seterusnya, dalam bidang pendidikan dan kesihatan dengan mencapai tahap tertinggi dalam bidang keilmuan dan menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya, Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: 'orang-orang Islam' semenjak dahulu dan di dalam (al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifat-Nya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan." (Surah al-Hajj, ayat 78)

Seruan berjihad khususnya untuk mempertahankan kesucian agama Islam menjadi kewajipan setiap Muslim apabila berhadapan dengan situasi sebagaimana dihadapi saudara kita di Palestin sekarang. Tekad mereka untuk berjuang hingga mendapat kemenangan adalah dorongan daripada tuntutan untuk mempertahankan agama Islam. Bukan semata-mata mempertahankan tanah air yang dijajah. Isu kemanusiaan adalah tambahan kepada ancaman terhadap maruah agama Islam yang dicalar oleh kezaliman rejim Zionis Israel. Oleh itu, laungan untuk bangkit dan terus berjuang adalah demi mempertahankan kesucian agama Islam dan mengembalikan kebebasan di Masjid al-Aqsa.

Berkenaan kesucian dan kelebihan Masjid al-Aqsa dinyatakan Allah SWT dalam beberapa ayat al-Quran. Antaranya ialah Masjid al-Aqsa sebagai kiblat pertama umat Islam sebelum diubah ke Masjid Al-Haram di Mekah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar daripada Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan." (Surah al-Baqarah, ayat 144)

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 6:00 AM