KALENDAR seni hiburan tanah air kembali rancak dan menarik selepas   dua tahun dunia seni kita malap kerana pandemik Covid-19.
KALENDAR seni hiburan tanah air kembali rancak dan menarik selepas dua tahun dunia seni kita malap kerana pandemik Covid-19.
Ridzuan Abdul Rahman


Pelbagai kisah menarik berlaku dalam kalendar seni hiburan tanah air sebaik memasuki pertengahan tahun ini.

Tentunya kita masih segar dengan konsert bertaraf mega yang rancak berlangsung bermula Jun antaranya Search Endemik, Search Rockin' On Rooftop, Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 dan Konsert U.K'S Reunion 25 Tahun.

Tidak ketinggalan yang baharu berlangsung meriah ialah Konsert Tribute Seniman Negara Datuk Seri Ahmad Nawab dan pelbagai lagi antaranya kumpulan legenda, Kembara dan Wings.

Bagi penulis fenomena ini adalah sesuatu yang amat bagus terhadap industri selepas dua tahun anak-anak seni berjuang menerusi pelbagai cara untuk kelangsungan hidup.

Terbaharu berlaku fenomena kebangkitan Melayu yang menyaksikan orang Melayu berpusu-pusu ke pawagam menyaksikan filem Mat Kilau yang kini mencecah kutipan RM47 juta untuk 11 hari tayangan.

Penulis percaya dengan apa yang berlaku sekarang kutipan akan terus meningkat dan tidak mustahil akan mencecah kutipan RM100 juta dan melakar sejarah baharu dalam industri perfileman tanah air.

Sudah pasti penerbit kini giat menggali naskhah kepahlawanan khususnya di kalangan orang Melayu untuk diketengahkan dengan harapan mendapat tempat di hati peminat.

Industri perfileman juga seharusnya berbangga dengan pencapaian hebat pelakon senior, Mubarak Majid yang dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem pendek Coofie & Sexy Dress di Motion Horse International Film Festival (MHIFF) 2022 di India baru-baru ini.

Filem pendek terbitan Buffalo Orange Pictures Sdn Bhd ini mencipta sejarah tersendiri dan Mubarak menerima pujian yang melambung tinggi daripada peminat.

Bagaimanapun, agak malang apabila seniman berusia 66 tahun itu tidak mendapat sebarang ucapan tahniah daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Berbanding sebelumnya, Finas pasti akan mengeluarkan kenyataan media ucapan tahniah kepada mana-mana tokoh industri yang mencipta kejayaan di luar negara.

Apa pun pujian wajar diberikan kepada Mubarak kerana tetap tenang melayari kariernya tanpa mengharapkan ganjaran yang besar daripada mana-mana pihak.

Seperkara lagi yang menarik dalam industri ialah trend nyanyian semula lagu-lagu popular artis kita oleh penyanyi seberang iaitu Indonesia.

Ada yang bersetuju dengan trend ini, namun gaya nyanyian yang berlebihan atau lembik kurang disenangi oleh peminat tempatan.

Paling menjadi perbualan ialah lagu Tiara oleh Raffa Affar dalam versi slow rock yang dikatakan agak lembik berbanding Alim yang sangat bertenaga.

Setiap orang ada pilihan masing-masing kerana dalam ada yang tidak suka, muzik video lagu ini sudah mendapat 25 juta tontonan di YouTube.

Penulis bersetuju dengan penyanyi Ezad Lazim yang menerima terbuka lagu Mengintai Dari Tirai Kamar yang diviralkan oleh pasangan duet Indonesia Nabila Maharani Widyadewi dan Zinidin Zidan sehingga menerima lebih 45 juta tontonan di YouTube.

Baginya sekurang-kurangnya ia turut mencambahkan kembali popularitinya dan Exists dikalangan peminat Malaysia dan Indonesia.


Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 6:00 AM